Kyrgios ajak Nadal berbual dalam video

PARIS, 4 MEI – Pemain tenis Australia Nick Kyrgios mempelawa Rafael Nadal untuk ikut serta dalam perbualan video kelmarin meskipun hubungan mereka yang dingin di gelanggang.
Dengan koronavirus telah mendorong musim tenis ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 13 Julai, beberapa orang pemain baru-baru ini telah mengadakan perbualan melalui media sosial.

Kelmarin, selepas BBC bertanyakan mengenai cadangan untuk membuat facetime selepas ini, Kyrgios dengan segera memberikan respons.

“Rafa jom berbual melalui Instagram live bersama-sama. Saya ingin melakukannya. Rafael Nadal mari lakukannya,” tulis pemain Australia tersebut dalam laman Instagram.

Kyrgios dan Nadal mempunyai hubungan yang dingin di gelanggang.

Tahun lalu, pemenang Grand Slam sebanyak 19 kali tersebut menuduh pemain kelahiran Australia itu sebagai ‘kurang hormat’ selepas Kyrgios memenangi perlawanan di Mexico.
Kyrgios memberikan respons dengan mengatakan pemain nombor dua dunia dari Sepanyol itu ‘mudah tersinggung’.

Mereka kemudiannya bertemu sekali lagi di kejohanan Wimbledon pada musim panas lalu apabila Nadal memenangi perlawanan tersebut tetapi berasa marah selepas pemain Australia itu nampaknya melontar bola ke arahnya. – AFP

Gambar fail ketika Nadal menewaskan Kyrgios di Terbuka Australia pada 27 Januari 2020. Nick Kyrgios mempelawa Rafael Nadal untuk ikut serta dalam perbualan video meskipun hubungan antara kedua-dua pemain tersebut agak dingin. – AP