Kyrgios beri gambaran tidak beraksi Terbuka Perancis

SYDNEY, 6 OGOS – Nick Kyrgios memberi gambaran bahawa dia tidak akan menyertai Terbuka Perancis, dengan mengatakan bahawa peluang untuk dirinya membuat perjalanan ke Eropah tahun ini adalah ‘sangat tipis’.

Pemain dari Australia itu menarik diri dari Terbuka AS di New York disebabkan oleh pandemik koronavirus, dan langkah tersebut diikuti oleh pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal.

Kyrgios, yang menduduki rangking ke-40 dunia, berkata dia tidak terkejut dengan keputusan dibuat oleh pemain Sepanyol itu, dengan menyatakan bahawa raja gelanggang tanah liat itu berkemungkinan ‘menyasarkan Terbuka Perancis’ pada lewat September nanti.

“Dan jika saya bermain, saya semestinya akan memilih untuk pergi ke Eropah (berbanding Amerika Syarikat) pada tahun ini dengan apa yang berlaku ketika ini,” dia memberitahu Channel Nine yang berpangkalan di Canberra.

Tetapi Krygios berpendapat bahawa ia adalah tidak mungkin untuk menyertai kejohanan di Roland Garros.

“Peluang untuk saya bermain di Eropah adalah sangat tipis. Seperti tiada peluang langsung,” katanya.

“Saya akan menggunakan peluang ini untuk berada di rumah, berlatih, bersama keluarga, dengan kawan-kawan saya dan saya akan bertindak secara bertanggungjawab, dan menunggu sehingga saya rasa ia adalah selamat untuk bermain kembali.” – AFP