Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kyrgyzstan batal keputusan p’raya

    BISHKEK, KYRGYZSTAN, 6 OKT – Badan pemilihan Kyrgyzstan hari ini berkata ia telah membatalkan keputusan pungutan suara parlimen yang dipertikaikan dan telah menjerumus negara Asia Tengah itu ke dalam kancah keganasan dan kekacauan politik.

    Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat bekas negara Soviet itu berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah membatalkan keputusan pilihan raya yang menyaksikan parti-parti yang dekat dengan Presiden pro-Rusia Sooronbay Jeenbekov memperoleh kemenangan besar di tengah-tengah tuduhan kempen pembelian suara secara besar-besaran.

    Hasil daripada keputusan pungutan suara itu telah mencetuskan bantahan dan rusuhan di Bishkek, dengan penunjuk perasaan merampas bangunan kerajaan dan membebaskan ahli politik berprofil tinggi termasuk mantan presiden Almazbek Atambayev.

    Rusuhan tersebut telah menyebabkan puluhan orang tercedera, dengan lebih daripada 100 orang kini sedang dirawat di hospital.

    Jurucakap kementerian kesihatan hari ini berkata salah seorang yang tercedera dalam rusuhan tersebut telah meninggal dunia dan dipercayai penduduk awam.

    Anggota penguat kuasa ketika memindahkan pengadang yang didirikan oleh pembantah yang menentang keputusan undian parlimen di Bishkek, kelmarin. – AFP

    Bagaimanapun kementerian belum lagi mengesahkan identiti mangsa tersebut, katanya kepada AFP melalui telefon.

    Krisis berkenaan – mengingatkan peristiwa revolusi yang menyaksikan presiden telah digulingkan pada tahun 2005 dan 2010 – akan dipantau dengan teliti oleh Rusia, yang mempertahankan pangkalan tentera di republik yang mempunyai 6.5 juta orang penduduk itu, dan negara jiran China.

    Kedutaan Moscow di Bishkek hari ini meminta ‘penyelesaian undang-undang’ untuk menangani krisis tersebut.

    “Menjamin keselamatan setiap warga dan menjaga kestabilan dalam negara harus menjadi keutamaan,” tambahnya.

    Ahli politik pembangkang termasuk bekas perdana menteri dan beberapa pemimpin parti berkata mereka telah membentuk ‘badan penyelarasan’ untuk mengembalikan kestabilan dan kedaulatan undang-undang.

    Badan tersebut mengeluarkan kenyataan yang mengkritik Jeenbekov kerana tidak menunaikan janji untuk memberikan syarat yang sama bagi parti-parti yang bertanding dalam undian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda