LONDON, 25 Sept – Penyokong pasukan bola sepak Peru dipilih pemenang bagi kategori peminat terbaik pada Anugerah Bola Sepak FIFA 2018.
Kelab peminat dikenali ‘La Blanquirroja’ itu dipilih menerusi undian secara dalam talian.
Lebih 40,000 peminat bola sepak Peru mengunjungi Rusia untuk menyaksikan kejohanan itu yang berlangsung pada Ogos lepas.
Meskipun berdepan dua kekalahan pada pusingan pertama, sokongan padu rakyat terhadap pasukan negara mereka tidak luntur.
Sementara itu, pelakon terkenal Sepanyol Antonio Banderas turut menyifatkan skuad kebangsaan Peru bertuah kerana mempunyai kumpulan peminat yang terbaik.
Antara turut tersenarai dalam kategori itu ialah penyokong pasukan Jepun dan Senegal yang membersihkan stadium selepas perlawanan pasukan mereka.
Turut tersenarai Sebastian Carrera peminat pasukan Chile yang mengembara sejauh 1,500 kilometer semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan negaranya.
Peru layak ke Piala Dunia Rusia selepas 36 tahun. Skuad kebangsaan itu tewas dua perlawanan pusingan pertama ketika menentang Denmark dan Perancis menyebabkannya tersingkir. – Bernama