LA Lakers rampas tempat teratas western conference

ORLANDO, 4 OGOS – Anthony Davis menjaringkan 42 mata untuk membantu Los Angeles Lakers menduduki tempat teratas di Western Conference kelmarin dengan mengalahkan Utah Jazz 116-108.

Tersentap dengan kekalahan di tangan Toronto Raptors Sabtu lalu, Lakers kembali garang untuk menggegarkan barisan pemain Utah.

Kemenangan itu mengesahkan tempat teratas di Western Conference bagi Lakers buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun, ketika mendiang Kobe Bryant mengemudi pasukan Lakers untuk menjuarai NBA Finals.

Dalam perlawanan kelmarin, Davis menunjukkan kehebatannya dengan menjaringkan sejumlah mata yang tinggi dan mencatatkan 12 rebound, empat assist dan tiga steal.

LeBron James mengakhiri perlawanan dengan 22 mata dan sembilan assist ketika Lakers menjarakkan kedudukan dari Utah.

Aksi Anthony Davis semasa membantu Lakers menewaskan Utah Jazz. Davis merupakan pemain pertama untuk mencapai kejayaan menjaringkan 20 mata atau lebih dalam separuh masa pertama selepas Bryant. – AP

“Semua perkara yang kami tempuhi bagi merebut kedudukan pertama untuk Western Conference yang sangat bermakna tetapi kami belum berakhir lagi,” kata Davis.

“Ini merupakan salah satu dari banyak mercu tanda untuk meletakkan di mana kami mahu berada.”

Jaringan mata Davis termasuk 23 mata dalam separuh masa pertama.

Ini merupakan kali ke-20 Davis menjaringkan 20 mata atau lebih dalam separuh masa pertama sebagai pemain Lakers, pemain pertama untuk mencapai kejayaan tersebut sejak Bryant, yang terkorban dalam nahas helikopter pada Januari lalu.

“Untuk tergolong dalam kategori yang sama dengan Bryant sangat bermakna buat saya,” kata Davis. “Saya tahu dia akan sentiasa menyokong kami.”- AFP