La Liga kembali, Sevilla kukuhkan kedudukan

MADRID, 12 JUN – Sevilla berjaya mengalahkan musuh tradisinya, Real Betis 2-0 ketika La Liga kembali semula setelah ditangguhkan tiga bulan, menjadi liga kedua dari lima liga utama di Eropah disambung semula setelah wabak COVID-19.

Selepas Bundesliga di Jerman dimulakan semula pada 16 Mei lalu, La Liga kembali membuka pintu kepada pemain tetapi bukan penyokong di Ramon Sanchez Pizjuan, di mana perlawanan antara Seville dan Real Betis berlangsung dengan tempat duduk yang kosong.

Perlawanan pertama dalam bola sepak Sepanyol sejak 10 Mac lalu, perlawanan itu memberikan semangat kepada Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Serie A di Itali untuk melanjutkannya.

Kedua-duanya dijangka kembali minggu depan. Lucas Ocampos memberikan Sevilla jaringan pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-56 dan Fernando Reges kemudian menambah jaringan kedua untuk pasukan tuan rumah, yang berada di tangga ketiga di La Liga.

Ini adalah pusingan pertama perlawanan sepanjang 39 hari sehingga La Liga musim ini selesai, yang akan menyaksikan pasukan bermain setiap tiga hari selama lima setengah minggu dan menjalani ujian kesihatan mereka.

Reaksi pemain Sevilla dan Real Betis semasa meraikan kemenangan di perlawanan La Liga Sepanyol antara Sevilla FC dan Real Betis di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Seville, semalam. – AFP

Kedua-dua jurulatih menggunakan peraturan baharu dengan membuat lima pemain gantian dan mengambil waktu rehat minum pada kedua-dua babak perlawanan.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Sevilla di tempat ketiga ketika mereka menjarakkan jurang empat mata ke atas Getafe dan Real Sociedad yang berada di bawah mereka.

Betis berada di tangga ke-12 liga dan menghadapi kemungkinan dalam zon penyingkiran.

“Saya selalu percaya kami akan bermain lagi,” kata presiden La Liga, Javier Tebas, yang juga menunjukkan 10 atau 15 peratus peminat dapat menghadiri stadium sebelum musim berakhir pada 19 Julai.

Buat masa ini, tempat duduk tetap kosong, suara pemain dan jurulatih terdengar dan suasananya pelik. – AFP