la Vuelta 2022 bermula di Belanda

MADRID, 13 SEPT – Perlumbaan la Vuelta 2022 akan bermula di Utrecht di Belanda, umum penganjur hari ini.

Tiga peringkat pertama perlumbaan akan berlangsung di bandar Belanda, yang merupakan lokasi permulaan untuk edisi tahun lalu sebelum dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19.

Perlumbaan la Vuelta pada tahun depan, salah satu daripada tiga jelajah terbesar dalam kalendar lumba basikal, akan diadakan di antara 19 Ogos dan 11 September.

“Penantian berbulan-bulan lamanya belum mematahkan hasrat kami untuk bekerjasama dengan Belanda,” kata pengarah la Vuelta Javier Guillen dalam satu kenyataan.

“Ia akan menjadi satu permulaan bersejarah, yang akan menandakan peristiwa penting untuk lumba basikal Sepanyol dan Belanda,” tambah beliau. Perlumbaan la Vuelta tahun ini berakhir pada awal bulan ini dengan kemenangan ketiga berturut-turut oleh pelumba Slovenia Primoz Roglic. – AFP