NILAI, 20 Jun – Hasrat melihat golongan muda mencintai dunia sains dan kajian mendorong seorang penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan ‘Lab In a Box’ yang dibekalkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi USIM Dr Muhammad Zamir Othman berkata produk yang dihasilkannya itu mengandungi dua modul asas iaitu ‘Slime making kit’ dan ‘DIY Perfume’ yang kedua-duanya mempunyai kaitan dengan silibus pembelajaran dalam mata pelajaran sains di sekolah rendah dan menengah.
“Pada asalnya saya cipta inovasi ini untuk menarik minat pelajar sekolah rendah mencintai dunia sains, tetapi selepas kami jelajah ke seluruh negeri, ia mendapat sambutan daripada para guru sekolah menengah kerana modulnya juga ada dalam silibus pembelajaran sekolah menengah.
“Sebagai contoh Slime making kit mengambil kira tindak balas kimia yang dipelajari dalam topik Polimer Sintetik manakala DIY Perfume kit pula merupakan proses terakhir untuk membuat wangian, di dalam ini ada beberapa panduan untuk eksperimen kita boleh buat dan kit ini juga mengajar pelajar untuk mengira secara tidak langsung ada melibatkan aktiviti ilmu matematik,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Dr Muhammad Zamir berkata kedua-dua modul ini juga bukan sahaja dapat dimanfaatkan pelajar sekolah tetapi juga para guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Apa yang saya lakukan ini adalah bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mereka lebih kreatif dalam sesuatu perkara selain ingin melihat mereka meneroka bidang sains,” katanya.
Muhammad Zamir berkata kedua-dua kit yang mengambil masa selama lima bulan untuk dihasilkan itu telah melalui beberapa saringan keselamatan bagi memastikan ia selamat digunakan pelajar tanpa berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini.
“Kit ini mula direka pada September tahun lepas dan asas kepada Lab In a Box ini ialah eksperimen yang dilaksanakan hendaklah selamat, senang difahami dan mudah dilaksanakan pelajar seawal lapan tahun dengan bantuan serta pemerhatian oleh ibu bapa atau guru.
“Kami juga turut menyediakan inisiatif paparan ketahui bahan kimia untuk memberi pendedahan kepada pelajar akan bahan kimia yang mereka gunakan untuk tujuan eksplorasi,” katanya. Beliau berkata, ketika ini kit itu telah terjual lebih 1,000 unit dan digunakan di setiap sekolah di seluruh negeri kecuali pantai timur dan utara dan penjualan itu hasil kerjasama dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Agensi Inovasi Malaysia dan kini mereka menumpukan pemasaran di bahagian utara dan pantai timur. Tambahnya kedua-dua kit yang dihasilkannya itu pernah merangkul anugerah khas ‘Al-Khawarismi’ pada Ekspo Inovasi Islam kali kelapan di USIM baru-baru ini.
Muhammad Zamir turut merancang menghasilkan dua kit baharu melibatkan penghasilan sabun serta molekul-molekul kimia bagi menambah pilihan eksperimen kepada pelajar. – Bernama