Labbadia ganti Klinsmann di Hertha Berlin

BERLIN, 10 APRIL – Bruno Labbadia akan menjadi pengganti kepada Jurgen Klinsmann sebagai ketua jurulatih Hertha Berlin, umum kelab Bundesliga kelmarin.

“Saya dan pasukan saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran ini. Hertha adalah sebuah kelab yang mempunyai pelan yang jelas dan bercita-cita tinggi untuk masa hadapan,” kata Labbadia dalam kenyataan di laman web kelab.

Menurut akhbar Bild dan majalah bola sepak Kicker, pengurus berusia 52 tahun, Labbadia akan menandatangani kontrak sehingga 2022 untuk menyelia persediaan jika kelab liga Jerman kembali semula bulan hadapan selepas dihentikan pada 13 Mac kerana pandemik koronavirus.

“Ia memerlukan kerja keras. Kami akan bermula pada hari Isnin di bawah sekatan sekarang dan membuat persediaan yang terbaik mungkin jika bola sepak disambung semula,” kata ketua jurulatih baharu itu.

“Dengan Bruno, kami mempunyai seseorang yang mempunyai pengetahuan yang baik mengenai Bundesliga sejak bertahun-tahun sebagai pemain dan jurulatih dan telah menunjukkan bahawa dia dapat menstabilkan pasukan dan membawa mereka kembali ke saingan liga,” kata pengarah sukan Michael Preetz.

Bekas jurulatih Wolfsburg, Stuttgart dan Hamburg itu akan menjadi individu keempat mengisi jawatan Hertha pada musim ini, dan akan bertanggungjawab menyelamatkan musim yang hambar untuk pasukan.

Hertha, yang disokong oleh pelabur kaya, berada di kedudukan ke-13 liga, enam mata dari zon penyingkiran dengan baki sembilan perlawanan.

Labbadia mempunyai pengalaman sebelum ini mengelak dari penyingkiran bagi pasukan Wolfsburh pada musim 2017-2018 sebelum membimbing mereka ke kejohanan Liga Europa pada musim berikutnya. – AFP