Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JPES
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Satu kompaun berjumlah $1,000 dan dua notis amaran telah dikeluarkan oleh Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, kepada tiga buah premis perniagaan kerana melanggar Perintah Paparan Tanda Harga.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, hari ini, ketiga-tiga premis perniagaan berkenaan didapati memaparkan harga barangan yang tidak selaras dengan harga sebenar yang dibayar oleh pengguna.
Sri Azlina Sdn Bhd dikenakan kompaun berjumlah $1,000, yang mana pada Mac lepas, premis berkenaan telah dikeluarkan kompaun berjumlah $700 atas kesalahan yang sama.
Sementara itu, dua lagi premis telah diberikan notis amaran, jelas kenyataan itu.
Perintah Paparan Tanda Harga dan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) dikuatkuasakan untuk melindungi pengguna daripada amalan perniagaan yang tidak beretika.
Para peniaga hendaklah peka dan sentiasa mengamalkan amalan perniagaan yang wajar dan beretika termasuk memaparkan harga dengan jelas dan tepat serta tidak mengelirukan pengguna dalam membuat keputusan pembelian.
Amalan perniagaan yang beretika adalah asas dalam membina kepercayaan pengguna dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat.
Kenyataan menyatakan bahawa para peniaga yang didapati melanggar Perintah Paparan Tanda Harga boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun.
Pengguna yang berdepan dengan sebarang amalan perniagaan yang mengelirukan digalakkan untuk melaporkannya kepada JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak, melalui e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn atau consumercomplaint@jpes.gov.bn, berserta dokumen sokongan seperti resit pembayaran dan gambar sebagai bukti.