HALF MOON BAY, CALIFORNIA, 13 OKT – Terkurung di rumah disebabkan pandemik telah mendatangkan keuntungan kepada seorang guru hortikultur Minnesota yang menggunakan masa tambahan untuk menyiram dan membaja labu besar yang memenangi pertandingan labu pada tahun ini.
Travis Gienger dari Anoka, Minnesota, meluangkan masa lapangnya di kebun labu di kawasan belakang rumah, menyiram tanamannya sehingga 10 kali sehari dan membajanya sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Gienger, 40, kemudian membawa labu gergasinya selama 35 jam untuk melihat usahanya mendatangkan keuntungan pada Kejohanan Timbangan Labu Dunia ke-47 di Half Moon Bay, selatan San Francisco, di mana labunya mempunyai berat 2,350 paun.
“Ia mendebarkan kerana sepanjang perjalanan saya asyik berfikir, ‘adakah ia akan berjaya?” Dan akhirnya apabila ditimbang, ia merupakan labu yang terakhir dan kemenangan ini sungguh menakjubkan,” kata Gienger.
Gienger, guru landskap dan hortikultur di Kolej Teknikal Anoka, telah menanam labu sejak remaja, didorong oleh bapanya yang juga menanam tanaman itu. Ia adalah kali pertama dia menyertai pertandingan tetapi dia tidak pasti sama ada akan kembali pada tahun depan.
Juara labu pertama kali itu memenangi AS$16,450, atau AS$7 setiap paun, untuk labu jingga yang akan dipamerkan semasa satu perarakan di Half Moon Bay pada lewat Isnin. – AP