Labuan alami gangguan sementara bekalan air sejak Selasa

LABUAN, 10 JULAI – Hampir 85 peratus daripada lebih 100,000 penduduk di pulau bebas cukai ini sedang mengalami gangguan sementara bekalan air sejak Selasa lalu disebabkan paip pecah di hadapan Labuan Shipyard & Engineering, Jalan Pulau Enoe, di sini.

Gangguan itu, bagaimanapun, tidak melibatkan zon perindustrian di sini. Pengarah Jabatan Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan (JBAWPL), Muhamad Zulkeflee Yusof berkata kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan membabitkan paip bersaiz 800mm sejak Selasa lalu selepas dikesan pada malam Sabtu.

Susulan gangguan tersebut, katanya, pihaknya menyediakan bekalan air terawat melalui penghantaran ke tujuh buah tangki statik dan lori tangki air di kawasan kediaman dan 27 buah kampung di pulau itu. – Bernama

Penduduk kampung mengambil bekalan air terawat di tangki statik di Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun yang disediakan oleh pihak Jabatan Bekalan Air Labuan berikutan gangguan bekalan air di Labuan, kelmarin. – Bernama