Monday, October 7, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Labuan bakal jadi bandar raya pintar, lestari

    LABUAN, 16 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Labuan Khamis ini yang bermatlamat menjadikan pulau bebas cukai ini sebuah bandar raya pintar dan lestari.

    Rangka tindakan itu, yang disifatkan sebagai tonggak pembangunan eknomi pulau ini, akan mendorong penduduk Labuan menyumbang tenaga masing-masing ke arah membina sebuah ekonomi inklusif serta meningkatkan kemampuan dengan berlandaskan wasasan dan matlamat khusus yang ingin dicapai menjelang 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Azhar Ahmad.

    Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkata pelan pembangunan itu terhasil daripada input yang diterima daripada pelbagai agensi kerajaan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin politik dan masyarakat serta rakyat daripada pelbagai lapisan kehidupan.

    Katanya rangka tindakan itu, yang mula diperkenalkan pada 2015, akan memberi fokus terhadap dua bidang penting iaitu pembangunan ekonomi dan fizikal, yang merupakan keperluan utama bagi mengubah landskap ekonomi pulau ini.

    “Kami perlu melakukan transformasi terhadap ekonomi domestik dan memfokuskan usaha bagi membina keupayaan pulau ini serta penduduknya.

    “Rangka tindakan ini menggariskan rangka kerja bagi rancangan pembangunan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang hingga 2030, yang akan mengemudi Labuan ke arah menjadi ekonomi tertinggi di Malaysia atau sekurang-kurangnya setanding dengan yang lain.

    “Kami yakin, rangka tindakan ini, yang memberi fokus terhadap pembangunan bersepadu serta merangkumi pelbagai sektor penjanaan pendapatan, akan membantu merangsang aktiviti ekonomi, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan serta menarik pelaburan,” kata beliau.

    Menurut Azhar, sektor kewangan serta minyak dan gas terus menjadi asas ekonomi yang akan memacu ekonomi pulau ini.

    “Kami mempunyai kemudahan, undang-undang kewangan dan insentif sedia ada yang akan membolehkan kami untuk terus bergantung pada dua sektor itu demi masa depan pulau ini dan kami tetap yakin bahawa sektor minyak dan gas akan pulih serta kembali berada di landasan yang kukuh,” katanya.

    Merujuk kepada projek berkenaan, Azhar berkata ia termasuk pembinaan Jambatan Labuan yang akan menghubungkan pulau ini dengan tanah besar Sabah serta beberapa projek pembangunan pelancongan pesisir seperti esplanad, hotel dan resort.

    “Kami juga memberi fokus kepada sukan lasak air atau Grand Prix Laut Labuan dan perlumbaan motosikal, yang kawasannnya sudah dikenal pasti,” kata beliau.

    Azhar berkata kerajaan sahaja tidak mampu menyediakan taraf kehidupan yang baik kerana usaha ke arah itu memerlukan tindakan terancang serta penuh komitmen daripada semua sektor sosial dan rakan semua sektor masyarakat.

    “Rangka tindakan ini perlu dilaksanakan secara betul bagi memastikan cita-cita untuk mencapai matlamat Wawasan 2030 menjadi kenyataan.

    “Rangka tindakan ini menuntut rakyat Labuan daripada semua lapisan kehidupan supaya berganding bahu, menggembleng tenaga ke arah melaksanakan rancangan berkenanan. Inilah rancangan kita, masa depan kita. Sama-samalah kita menjayakannya,” kata beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda