LABUAN, 19 MEI – Labuan mungkin akan mengikuti langkah kerajaan Sabah yang akan menguatkuasakan kuarantin wajib 14 hari terhadap individu yang memasuki pulau bebas cukai itu sebagai usaha untuk mengekang penularan kes COVID-19, di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan Rithuan Ismail berkata, pihaknya kini sedang mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu.
“Kita perlu menunggu dan akan mengumumkan perkara ini dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun mengumumkan bahawa penguatkuasaan kuarantin wajib 14 hari ke atas individu yang masuk ke Sabah berkuat kuasa, esok (20 Mei).
Menurut Rithuan, selain kuarantin wajib, jawatankuasa itu juga mencadangkan agar ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dijalankan terhadap setiap pelancong, sebelum memasuki pulau bebas cukai itu.

Dalam perkembangan lain, Rithuan menjelaskan bahawa dua pasangan suami isteri dari Labuan yang didakwa telah mencetuskan kluster COVID-19 baharu di Tawau, Sabah telah menjalani ujian RTK-Antigen dan diuji negatif sebelum mereka melakukan perjalanan rentas negeri berkenaan.
Beliau juga akan memastikan setiap individu di pulau itu yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.
Ini termasuk, perlu mendapatkan kebenaran polis dan mengemukakan keputusan ujian COVID-19 yang negatif sebelum dibenarkan melepasi pemeriksaan polis di Lapangan Terbang Labuan dan terminal feri.
Semalam, Masidi yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap isu COVID-19 di Sabah berkata bahawa Sabah telah memutuskan untuk mengenakan sekatan yang lebih ketat setelah mengesan dua kes indeks yang berasal dari Labuan mencetuskan kluster COVID-19 baharu di Tawau.
Labuan kini merekodkan kes positif kumulatif sebanyak 2,591 dengan 14 kes baharu hari ini. – Bernama