Labuan beralih ke fasa empat PPN

KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Labuan menjadi wilayah pertama di Malaysia beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Khamis ini selepas mencapai 92.4 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan itu berpandukan kadar vaksinasi lengkap dua dos di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

“Perkara ini disokong oleh data yang menunjukkan trend kes positif COVID-19 harian di Labuan menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut serta kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini menurun ke angka sifar berbanding 30 peratus bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata dengan keputusan itu, semua sektor ekonomi di Wilayah Persekutuan Labuan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Kelonggaran lain ialah seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50 peratus.

“Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, pemukiman, majlis perjumpaan, dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis atau dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Negeri Sembilan kini beralih ke Fasa Dua PPN berkuat kuasa Khamis ini.

Menurutnya kes COVID-19 di Negeri Sembilan menunjukkan trend penurunan dengan penggunaan katil ICU berkurangan kepada 40 peratus semalam berbanding lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei.

Perkembangan tersebut juga, katanya, selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi  lengkap 72.3 peratus dalam kalangan populasi dewasa serta negeri itu berada pada landasan betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat. – Bernama

Nelayan tempatan membuat persiapan untuk turun ke laut seawal pagi di perkampungan nelayan sepanjang pantai Lubuk Temiang dan Tanjung Aru ketika tinjauan dalam tempoh pelaksanaan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Labuan, semalam. – Bernama