Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Labuan berdepan kekurangan kit ujian kendiri

    LABUAN, 8 MAC – Labuan berdepan kekurangan bekalan kit ujian kendiri COVID-19 yang menggunakan sampel air liur berikutan permintaan yang meningkat dengan mendadak sejak dua minggu lepas, kata Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan Junaidah Arbain.

    Beliau berkata permintaan yang tinggi itu disebabkan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan membuat ujian kendiri terutamanya sebaik tiba ke Labuan dan pihaknya sedang memantau situasi itu.

    “Pasukan penguat kuasa melakukan lawatan ke farmasi-farmasi dan menerima maklum balas mengenai ketersediaan kit ujian itu di rak mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Junaidah berkata pelanggan di pulau bebas cukai ini masih bergantung kepada bekalan dari Sabah dan Semenanjung serta kebanyakan pengimport mengimportnya secara pukal.

    “Bekalan kit ujian kendiri itu mengambil masa lebih lama untuk tiba di  Labuan dan stok semakin cepat habis berbanding sebelum ini, kami harap situasi akan kembali normal beberapa hari lagi dan farmasi tidak menaikkan harga kit ujian ini dengan sewenang-wenangnya untuk mendapatkan keuntungan cepat,” katanya.

    Beliau berkata beberapa pengusaha kedai memohon permit untuk menjual kit ujian kendiri menggunakan sampel air liur dan pertimbangan sedang dilakukan pihaknya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...