Labuan berpotensi dimajukan

LABUAN, 14 NOV – Labuan Corporation (LC) telah mengenal pasti pelabur berpotensi yang berminat melabur dalam pelbagai sektor di pulau itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Fary Akmal Osman.

Beliau berkata pelaburan baharu penting bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi pulau itu sejajar dengan Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 – untuk mentransformasikan Labuan menjadi bandar pulau pintar dan lestari.

“Bagaimanapun, kita perlu terlebih dahulu menghapuskan kerenah birokrasi yang menghalang pelabur berpotensi datang ke Labuan bagi pelaburan…kita tidak boleh terlepas mereka.

“Kita mungkin tidak dapat memuktamadkan perjanjian dalam masa sebulan, ia mungkin mengambil masa enam bulan atau sehingga setahun.

“Kita sentiasa berhati-hati dengan rundingan kita kerana perjanjian pelaburan kita banyak menumpukan kepada mempercepatkan aktiviti ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengumuman mengenai pelaburan akan datang bakal dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad tidak lama lagi, kata Fary.

LC juga telah berunding dengan para pegawai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mendapat bimbingan tentang ekosistem ekonomi dan pelaburan Labuan dan mengenal pasti prasarana yang diperlukan untuk pembangunan masa depan.

“Kita menumpukan kepada logistik, runcit, dagangan dan pelancongan.

“Tiga faktor ini akan terus dibangunkan untuk merangsang ekonomi pulau ini,” katanya sambil menambah LC berharap MIDA akan menimbang menyediakan insentif menarik bagi menarik pelaburan baharu ke Labuan.

Sementara itu, beliau berkata LC juga berbincang dengan Petronas Methanol Labuan mengenai cadangan penubuhan dana pendidikan bagi membantu pelajar tempatan menyambung pengajian mereka ke sekolah antarabangsa dan institusi pengajian tinggi.

“Kita percaya ini perlu dilakukan bukan hanya oleh Petronas tetapi juga syarikat-syarikat lain termasuk syarikat minyak multinasional yang meraih keuntungan besar di Labuan, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya – Bernama