LABUAN, 15 OGOS – Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) telah memulakan pencarian bakat baharu melibatkan pelajar dari 11 sekolah menengah.
Presidennya Sophian Said berkata para pelajar itu akan menyertai Kejohanan Futsal Labuan pada Jumaat ini (19 Ogos) yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan.
“Kami akan mencari bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah menengah termasuk pelajar daripada Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS). “Mereka yang disenarai pendek akan dimasukkan dalam program pembangunan bakat LAFA bagi pemantapan kemahiran,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sophian berkata Labuan telah menghasilkan ramai pemain bola sepak yang mewakili Sabah, Johor dan pasukan kebangsaan seperti Datuk Hassan Sani, Dilbagh Singh, Junaidi Tuah, Hazwan Bakri, Longinus Pius, Ramlan Silamat, Rashid Piut dan Gapor Mohammad.
“LAFA sentiasa peka terhadap program yang boleh mencungkil bakat baharu pada peringkat akar umbi termasuklah mengadakan bengkel bola sepak,” kata Sophian. Beliau berkata pencarian bakat itu penting bagi memastikan Labuan terus menghasilkan lebih ramai pemain bola sepak tempatan yang berkualiti tinggi dan LAFA berada pada kedudukan terbaik untuk menyediakan platform melatih pemain muda di bawah jurulatih terbaik. – Bernama