Labuan catat kadar vaksinasi tertinggi di Malaysia

LABUAN, 4 MAC – Kira-kira 76.45 peratus atau 1,789 daripada 2,340 anggota barisan hadapan di Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat ini dengan bakinya dijangka menerima vaksin tersebut secara berperingkat hingga April.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Ismail berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Labuan yang dilancarkan pada 27 Februari lalu menerima sambutan memberangsangkan daripada petugas barisan hadapan dan juga ketua-ketua jabatan kerajaan.

“Kami tidak menyangka dapat melaksanakan program vaksinasi ini dengan cepat serta menjadi wilayah yang merekodkan penerima vaksin paling ramai berdasarkan nisbah setiap 100,000 orang di negara ini,” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama