Labuan dilanda hujan ribut, angin kencang

LABUAN, 11 Julai – Hujan lebat berserta angin kencang melanda pulau bebas cukai hari ini, sehingga menumbangkan beberapa pokok dan tiang lampu serta merosakkan harta benda.

Keadaan tersebut bermula sejak 8 hingga 10 pagi tadi dan angin kencang dijangka berlaku hingga awal petang, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Beberapa pokok tumbang dan dahan jatuh ke atas jalan raya di sekitar kawasan bandar dan kampung, termasuk Taman Sehat Kerupang 3, Pandur Hitam dan Pohon Batu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 8 pagi tadi sebelum mengarahkan dua trak ke kawasan terjejas.

Sebuah rumah di Taman Sehat Kerupang 3 dihempap pokok manakala sebuah lampu jalan turut jatuh dan hampir mengenai sebuah rumah. Anggota Angkatan Pertahanan Awam membantu membersihkan jalan daripada pokok serta dahan yang tumbang.

Jabatan Meteorologi sebelum itu telah memberi amaran mengenai ribut petir dan angin kencang di Sarawak, Sabah dan Labuan hingga tengah hari.

Katanya angin kuat hingga 50km sejam dan ombak setinggi 3.5 meter tinggi akan melanda serta berbahaya kepada bot-bot kecil. – Bernama