Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Labuan dilanda jerebu

    LABUAN, 13 JAN – Jerebu menyelubungi Labuan sejak semalam dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana.

    Walaupun hujan lebat pada awal pagi, bacaan IPU kekal pada tahap sederhana iaitu 88 semalam dan 58 setakat 4 petang ini.

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar Labuan, Amir Hamzah Musa berkata keadaan itu berlaku disebabkan angin kencang yang membawa zarah-zarah halus dari luar Labuan.

    “Pencemaran zarah halus adalah mikroskopik. Ia adalah zarah amat kecil yang boleh disedut dan tidak baik untuk kesihatan.

    “Kami telah melakukan rondaan di sekitar pulau ini untuk memeriksa sama ada terdapat pembakaran terbuka atau kebakaran hutan namun tidak menemui sebarang insiden sedemikian,” katanya.

    Amir menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29A atau 29B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    Bacaan IPU 0-50 dianggap baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas adalah berbahaya.  

    Orang ramai terutama pemandu turut menyedari keadaan kualiti udara yang kurang baik.

    “Saya menunggang basikal awal pagi semalam serta hari ini dan terkejut kerana jarak penglihatan yang rendah,” kata Michael Lim yang risau dengan keadaan itu kerana dia menghidap penyakit asma.

    Fadillah Khalid pula berkata dia berdepan kesukaran melihat bola ketika bermain golf bersama rakan di Kelab Golf Antarabangsa Labuan. – Bernama

    Pemandangan dari kawasan perindustrian minyak dan gas di Pulau Enoe, berlatar belakangkan pusat bandar Labuan kelihatan berjerebu ketika tinjauan, semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...