Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Labuan IBFC pacu pembangunan hab ekonomi bersepadu

    LABUAN, 17 Jan – Pelan Transformasi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) dirancang bagi menjadikan pulau itu sebuah hab ekonomi wilayah bersepadu selain menyediakan perkhidmatan lebih baik untuk tujuan perniagaan, pelaburan dan pihak perantara rantau ini, termasuk bagi pasaran Malaysia Timur serta Asia.

    Pelan berkenaan juga merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pembangunan Labuan yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.

    Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Danial Mah Abdullah berkata bagi memastikan kejayaan rancangan itu, pihaknya akan memperluaskan lagi asas perniagaan Labuan IBFC.

    “Lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada usaha pembangunan segmen sampingan sektor kewangan yang boleh dibangunkan sebagai bidang pertumbuhan utama untuk Labuan IBFC,” katanya.

    Malah, kata Danial, seiring dengan penambahbaikan serta kepelbagaian produk, penyelesaian dan perkhidmatan, segmen-segmen kewangan itu akan berkembang sebagai enjin pertumbuhan masa depan IBFC, sekali gus menyepadukan agenda ekonomi Labuan bagi hubungan lebih baik dengan Labuan IBFC.

    “Seiring (peranannya) sebagai antara pelengkap Pelan Induk Pembangunan Labuan 2030 secara keseluruhannya, Pelan Transformasi Labuan IBFC itu hanya memaparkan serta memudahkan komitmen kerajaan dalam usaha meningkatkan kelebihan Labuan sebagai komponen pertumbuhan utama ekonomi negara.

    “Justeru, adalah diharapkan supaya pelaksanaan pelan induk itu berjalan lancar seperti dirancang dan memenuhi sasaran atau menjadi lebih baik lagi demi kesejahteraan penduduk pulau itu,” katanya. Menurut Danial, pelan itu antara lainnya turut menumpukan aspek penyepaduan sektor kewangan dengan ekonomi tempatan serta negara.

    “Kita sememangnya memberi tumpuan kepada aspek itu yang turut menjadi komitmen kita dalam pelan berkenaan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda