Labuan kekal sifar malaria manusia sejak 2017

LABUAN, 2 MEI – Labuan mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan sejak 2017, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata kejayaan untuk kekal sifar sejak 2018 perlu diteruskan bagi menyokong usaha kerajaan untuk mendapatkan Pensijilan Eliminasi Malaria Manusia jangkitan tempatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun ini.

Bagaimanapun, Dr Ismuni berkata malaria zoonotik yang berpunca daripada monyet masih dilaporkan dan masyarakat umum masih terdedah kepada risiko mendapatkan kes malaria import dari negara luar.

“Pada 2017, hanya satu kes malaria tempatan telah dilaporkan melibatkan jangkitan malaria zoonotik di Kampung Bebuloh. Kita telah menerima lapan kes impot malaria manusia dari negara luar dan 13 kes import malaria jangkitan zoonotik.

“Sebagai makluman, kita sudah berjaya melalui tiga daripada empat fasa di bawah Program Eliminasi Malaria Kebangsaan iaitu fasa kawalan, fasa pre-eliminasi dan fasa eliminasi,” katanya sempena Hari Malaria Sedunia di Kg Bebuloh Laut hari ini. – Bernama

Dr Ismuni Bohari berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di Kampung Bebuloh Laut, kelmarin. – Bernama