LABUAN, 18 JAN – Perbadanan Labuan (PL) meraikan Hari Wilayah Persekutuan ke-39 dengan penuh bergaya.
Menjelang sambutan yang jatuh pada 1 Februari, PL berjaya mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di dasar laut Pulau Rusukan Kecil hari ini dengan disertai 15 penyelam daripada Jabatan Perikanan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif PL, Rithuan Ismail berkata idea di sebalik inisiatif itu adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam hati setiap penduduk di pulau ini dan sebagai memperingati kejayaan Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata kempen mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan itu yang sebahagian daripada sambutan Hari Wilayah Persekutan tahun ini, dilancarkan pada 15 Januari lepas.
“Kempen itu menggalakkan rakyat mengibarkan bendera yang mempunyai tiga warna ini di rumah mereka dan premis perniagaan… PL juga memasang dan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di sepanjang jalan utama dan pusat bandar di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili berkata bendera Wilayah Persekutuan yang mempunyai tiga jalur melintang berwarna kuning, biru dan merah serta Jata Negara di tengah-tengahnya, dikibarkan di dasar laut sedalam lima meter pada acara selama 30 minit itu.
“Kami berjaya mengibarkannya dan bendera itu akan berada di dasar laut selama mungkin,” katanya. – Bernama