Labuan lancar operasi bersepadu di perairan

LABUAN, 2 OGOS – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan melancarkan operasi COVID-19 bersepadu melibatkan 13 agensi penguat kuasa hari ini, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mencegah jangkitan ke pulau bebas cukai itu.

Pengerusinya, Rithuan Ismail berkata operasi bersepadu di pantai dan perairan Labuan itu akan dijalankan sepanjang 24 jam selama sebulan.

“Kami ingin mengekalkan momentum pencapaian dalam melandai keluk COVID-19 dan seiring dengan imuniti kelompok yang dicapai Labuan.

“Memandangkan kami menuju ke zon hijau dan beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami ingin mengekalkan momentum itu,” katanya pada sidang media sebelum pelancaran operasi itu di Pos Kawalan operasi di Taman Tanjung Purun di sini.

Rithuan berkata penduduk tempatan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan pendatang haram atau mereka yang melakukan perjalanan tanpa permit polis. – Bernama

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Labuan dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan beraksi semasa demo kejar-mengejar pada pelancaran OP COVID-19 Bersepadu Pesisir Pantai dan Perairan Labuan, kelmarin. – Bernama