Labuan mula beri dos penggalak

LABUAN, 18 OKT – Jabatan Kesihatan Labuan mula melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 menerusi tiga fasa dengan hampir 20,000 orang bakal menerima dos ketiga mereka.

Ketua Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata fasa pertama membabitkan 1,290 petugas kesihatan; manakala fasa kedua, 250 anggota barisan hadapan bukan kesihatan termasuk petugas media; dan fasa ketiga, kira-kira 16,000 individu dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Kami telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pemberian dos penggalak dan petugas barisan hadapan kami akan divaksinasi bermula hari ini hingga hujung minggu ini,” katanya sebelum melancarkan pemberian dos penggalak di Klinik Kesihatan Membedai, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua tiga fasa tersebut dijangka selesai pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Hanya individu yang telah selesai tempoh enam bulan selepas dos kedua seperti yang disarankan,  layak mendapat suntikan dos penggalak tersebut. 

“Kami telah menubuhkan pusat vaksinasi di Hospital Labuan, kem Pangkalan Udara Labuan dan Klinik Kesihatan Membedai,” katanya.

Dr Ismuni berkata suntikan dos penggalak juga akan boleh diperoleh di semua klinik swasta menerusi janji temu. – Bernama

Petugas barisan hadapan kesihatan adalah antara individu terawal menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin Klinik Kesihatan Membedai, Labuan, semalam. – Bernama