Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Labuan Public Marina pikat pelayar serata dunia

    LABUAN – Labuan Public Marina menarik ramai pelayar dari seluruh dunia yang singgah untuk berehat dan menambah bekalan barangan keperluan sebelum meneruskan pelayaran mereka. Terdapat ramai juga pelayar meluangkan masa untuk bercuti di pulau bebas cukai yang kaya dengan pelbagai keindahan alam semulajadi serta buatan manusia.

    Dibuka secara rasmi sebaik sahaja pulau ini diisytihar sebagai Wilayah Persekutuan lebih tiga dekad lepas, Labuan Public Marina mempunyai pelbagai kemudahan untuk pelayar berehat daripada pelayaran mereka atau menunggu cuaca baik sebelum menyambung pelayaran. Hakikatnya, apabila singgah di marina itu, para pelaut telah melabuhkan perahu layar mereka di pusat bandar Labuan, disambut oleh penduduk tempatan yang mesra dan pelbagai kemudahan – dok dermaga, sambungan wifi, tandas dan bekalan air serta elektrik di pontun (platform terapung) yang diterangi pada waktu malam.

    Selain terletak di lokasi utama berhampiran bandar dan jarak berjalan kaki ke pejabat kastam dan imigresen, marina itu menawarkan akses mudah ke kedai-kedai bebas cukai, kemudahan perniagaan, pusat membeli-belah, terminal feri yang menyediakan akses ke daratan, hotel-hotel, perkhidmatan sewa kereta dan basikal, serta kedai serbaneka.

    Tinjauan rambang Bernama ke marina itu baru-baru ini mendapati terdapat beberapa perahu layar peribadi yang pelbagai saiz berlabuh di kawasan dermaganya. Lebih daripada 35 dok disediakan untuk berlabuh.

    Satu lagi faktor yang memikat para pelayar ke sini adalah harga yang berpatutan untuk pelbagai kemudahan yang disediakan. Bayaran purata harian bagi mana-mana kapal layar adalah berdasarkan saiznya iaitu sekitar RM0.80 bagi setiap sukatan kaki persegi saiz kapal (pemilik tempatan) dan RM1.00 sekaki persegi (pemilik asing).

    Terdapat ramai juga pelayar meluangkan masa untuk bercuti di pulau bebas cukai yang kaya dengan pelbagai keindahan alam semulajadi serta buatan manusia.

    Tempat transit kegemaran

    Pelayar Australia yang hanya memberikan nama pertamanya, David, berkata Labuan Public Marina adalah tempat transit kegemarannya. David, 45, yang telah mengembara 1,100 batu nautika dari Hong Kong untuk sampai ke marina ini sangat kagum dengan sejarah budaya yang kaya di pulau ini yang telah lama disenaraikan dalam British Admiralty Chart dan peta pelayaran.

    David berkata pulau ini menyediakan tempat perlindungan semulajadi daripada pelbagai elemen, terutamanya gelombang besar dan angin kencang, selain yuran berlabuh yang berpatutan. Kesemua itu adalah faktor yang dipertimbangkan sebelum memutuskan untuk belayar ke Labuan dan berlabuh di Labuan Public Marina.

    “Saya rasa marina ini telah menjadi antara yang terbaik di rantau ini dan semakin mendapat reputasi baik untuk perkhidmatan yang ditawarkan dan keindahan pemandangannya,” kata David yang berada di marina ini selama hampir sebulan selepas tiba dari Hong Kong.

    “Lebih-lebih lagi, kehidupan waktu malam di sini sangat menakjubkan, termasuk restoran fine dining, bar, kelab-kelab serta pelbagai tarikan sejarah. “Jika meninjau sekitar Labuan, jangan lupa untuk membawa kamera, agar tidak terlepas peluang untuk mengambil gambar matahari terbenam yang menakjubkan,” kata David yang akan meneruskan perjalanannya ke Vietnam selepas ini.

    Beliau berpendapat bahawa pulau ini adalah lokasi sesuai untuk penyewa kapal layar dan peminat pelayaran, tanpa mengira jenis aktiviti yang diminati, pastinya banyak perkara boleh dilakukan di pulau ini.

    Dibuka secara rasmi sebaik sahaja pulau ini diisytihar sebagai Wilayah Persekutuan lebih tiga dekad lepas, Labuan Public Marina mempunyai pelbagai kemudahan untuk pelayar berehat daripada pelayaran mereka atau menunggu cuaca baik sebelum menyambung pelayaran.
    Satu lagi faktor yang memikat para pelayar ke sini adalah harga yang berpatutan untuk pelbagai kemudahan yang disediakan.

    Luangkan seharian dengan berjemur di pantai, atau melakukan aktiviti snorkeling serta sukan air di Pulau Papan dan Pulau Rusukan Besar, dan kemudian luangkan sedikit masa untuk menikmati waktu petang yang indah dan pemandangan menakjubkan dari marina.

    Seorang lagi pelayar Australia, Joseph Andrew, yang tiba dari Singapura berkata, telah ramai orang dari seluruh dunia belayar ke Labuan sejak berabad-abad lamanya. “Di pulau seluas 35.38 batu persegi (91.63 km persegi) ini, Labuan Public Marina sangat selesa dan mudah dikunjungi sama ada melalui jalan darat mahupun air. Marina ini juga berdekatan kedai perkakasan dan perkhidmatan membaiki bot.

    “Marina juga berhampiran dengan tempat-tempat barbeku dan terdapat banyak tempat untuk berkelah,” kata Andrew yang singgah di marina sejak Ogos dan merancang untuk ke Vietnam.

    Labuan syurga pelayaran

    “Labuan adalah syurga bagi setiap pelayar, terletak di belakang pelbagai restoran dan hotel empat-bintang Billion Hotel yang terkenal serta pusat membeli-belah, Labuan Public Marina tidak terdedah kepada gelombang sekali gus menjadikan perairannya ideal untuk berlabuh,” kata Anggota Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli. “Malah, pantainya indah, teluk dan air yang jernih, menarik perhatian golongan elit kapal layar ke pulau ini,” katanya.

    Rozman yang juga pengerusi pihak berkuasa tempatan Labuan Corporation memberitahu bahawa terdapat rancangan untuk membesarkan marina itu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan bagi menjadikan Labuan sebagai destinasi pelancongan utamanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda