Labuan tegah ziarah kubur aidilfitri ini

LABUAN, 20 MEI – Labuan, mengikut langkah Selangor untuk tidak membenarkan umat Islam menziarahi tanah perkuburan sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri, sama ada sebelum atau selepas solat sunat Aidilfitri, dan pada hari berikutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata, ketetapan itu diambil selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

“Perkara ini berpandukan kepada arahan terkini Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan…tidak dinafikan ada yang kelihatan mengeluarkan hantaran dalam Facebook menziarahi pusara, dan diharapkan warga Labuan patuh dengan arahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tempoh ketetapan itu berkuat kuasa adalah tertakluk kepada suatu kenyataan lain yang akan dikeluarkan jabatan itu. – Bernama