Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 4 Mei – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), melalui Jabatan Perikanan, hari ini, telah menandatangani Perjanjian Sewa dan Operasi Tapak Ternakan Udang bersama Golden Corporation Sdn Bhd untuk membangunkan ladang-ladang pemeliharaan udang di Sungai Penyatang, Daerah Tutong.
Hadir menyaksikan penandatanganan tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Menandatangani perjanjian bagi pihak KSSUP ialah Pengarah Jabatan Perikanan, Haji Abdul Halidi bin Mohd Salleh dan Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan, Dayang Mariani binti Haji Sabtu.
Sementara itu, Syarikat Golden Corporation diwakili oleh Pengarah Urusannya, Richard Chuang dan Desmond Lim.
Dalam perjanjian tersebut, Golden Corporation akan melabur kira-kira $30 juta untuk meluaskan tapak penternakan udang bagi membantu meningkatkan pelan strategi rancangan lima tahun KSSUP untuk meningkatkan pengeluaran akuakultur bagi pasaran eksport.




Projek berkenaan akan menyaksikan pengeluaran tambahan sekurang-kurangnya 2,500 tan udang yang akan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai pengeluar udang terbesar di dunia.
Sementara itu, bagi Syarikat Golden Corporation, penandatanganan berkenaan merupakan salah satu peristiwa penting yang akan meningkatkan komitmen Negara Brunei Darussalam serta akan menyediakan udang sebagai bahan mentah untuk kilang pemprosesan yang kemudiannya akan dieksport ke luar negara.
Syarikat Golden Corporation telah melabur lebih daripada $40 juta di negara ini dan pelaburannya merangkumi seluruh rantaian nilai akuakultur seperti kapal-kapal menangkap ikan, makanan ternakan, penetasan udang dan sebagainya.
Pada masa ini, syarikat berkenaan telah menyediakan lebih 120 pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan melalui perancangan bagi meluaskan ladang ternakan tersebut, syarikat berkenaan akan menyediakan 80 peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.
Syarikat itu juga akan melabur untuk dibuat penyelidikan dalam Rostris Broodstock Development yang akan menjadikan Brunei sebagai pusat kecemerlangan untuk spesies udang.
Penyelidikan tersebut akan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Teknologi Pertanian Taiwan, Taiwan National Ocean University bersama universiti tempatan di negara ini.
Majlis turut menyaksikan penandatanganan dua memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan pemasaran syarikat iaitu UNIMA Distribution SAS untuk mengeksport ke Negara-negara Eropah dan Aqua Star Pty Ltd untuk eksport ke Australia bersama Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.
Eksport berkenaan dijangka melebihi $25 juta setiap tahun dan ia dilakukan melalui usaha Jabatan Perikanan mengikut perundangan bagi memudahkan pengeksportan di kedua-dua pasaran.
Menandatangani MoU bagi pihak UNIMA Distribution SAS ialah Pengerusinya, Amyne Hassam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Rantau Lautan Hindi, Rao Manavendra. Manakala itu, menandatangani bagi pihak Aqua Star pula ialah Pengerusinya, Allen Wu dan Zhang Ling Gan.
Selepas majlis penandatanganan selesai, Yang Berhormat Dato berkesempatan melawat ke ladang penternakan udang.
Turut hadir di majlis itu ialah Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Loan Forgeron; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Nicola Rosenblum serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.