LANGKAWI, 21 Sept – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah memulakan perbincangan dengan lembaga pelancongan Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan pakej komprehensif bagi memikat lebih banyak pelancong, terutamanya dari Eropah, mengunjungi pulau peranginan ini serta dua negeri berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Azizan Noordin berkata ketiga-tiga pihak bersetuju secara dasar untuk membentuk kerjasama bagi saling melengkapi kekuatan industri pelancongan masing-masing menerusi promosi dan pakej bersama.
“Antara lain, Sarawak mempunyai Gua Mulu dan Niah, iaitu produk pelancongan unik manakala Langkawi pula dengan konsep pelancongan pulau. Kesemua produk ini boleh disepadukan untuk menarik kunjungan pelancong,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Malam Persahabatan Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi di sini.
Beliau berkata kebanyakan pelancong yang datang ke Sabah dan Sarawak berminat untuk merasai produk ekopelancongan di kedua-dua negeri itu dan mereka juga mungkin berminat untuk menambah destinasi lain dalam atur cara perjalanan mereka.
“Di sinilah Langkawi boleh tampil menawarkan pengalaman ekopelancongan terbaik di pulau ini kepada pelancong berkenaan,” katanya.
Azizan, yang menyambut baik langkah syarikat penerbangan tambah rendah AirAsia untuk mengadakan penerbangan terus antara Kuching dan Langkawi sejak Ogos tahun ini, berharap AirAsia atau syarikat penerbangan lain akan memulakan penerbangan antara Langkawi dan Kota Kinabalu.
“Jika perkara ini menjadi kenyataan, ia akan melengkapkan jaringan pelancongan antara ketiga-tiga destinasi ini,” katanya.
Menurutnya syarikat penerbangan yang memulakan penerbangan terus pergi dan balik dari Langkawi sehingga kini melaporkan jumlah penumpang yang tinggi dan ini seharusnya menjadi faktor pendorong untuk mengadakan lebih banyak penerbangan seperti itu.
Di peringkat antarabangsa, penerbangan terus disediakan dari Ghuangzhou, Shenzen dan Chengdu di China, selain dari Singapura, dan Azizan berkata syarikat penerbangan perlu menimbangkan untuk memulakan penerbangan terus dari Hong Kong, Macau, Thailand, Vietnam dan India ke Langkawi.
“Kesemua penerbangan terus ini akan memberi sumbangan besar dalam membawa lebih banyak pelancong ke pulau ini dan saya harap syarikat penerbangan akan memberi pertimbangan serius terutamanya apabila Langkawi menjadi tuan rumah Pameran Pelancongan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik tahun depan,” katanya. – Bernama