CIRATA, 9 NOV – Indonesia hari ini merasmikan ladang solar terapung bernilai AS$100 juta, yang terbesar di Asia Tenggara, ketika negara itu mencari lebih banyak peluang untuk beralih kepada tenaga hijau yang boleh diperbaharui.
Ladang solar terapung Cirata, yang dijangka menghasilkan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menyalakan 50,000 isi rumah, dibina di atas tasik seluas 200 hektar di Jawa Barat, kira-kira 130 kilometer dari ibu negara, Jakarta.
“Hari ini adalah hari bersejarah, kerana impian besar kita untuk membina loji tenaga boleh diperbaharui secara besar-besaran akhirnya tercapai,” kata Presiden Joko Widodo dalam ucapan sempena majlis itu.
“Kita berjaya membina ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara, dan yang ketiga terbesar di dunia,” katanya.
Projek tersebut merupakan kerjasama antara syarikat elektrik nasional Indonesia Perusahaan Listrik Negara dan syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Abu Dhabi, Masdar. Ia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan menelan belanja kira-kira AS$100 juta.
Ladang solar tersebut, yang dibiayai oleh Sumitomo Mitsui Banking Corporation, Societe Generale dan Standard Chartered, terdiri daripada 340,000 panel.
Kerajaan Indonesia telah menyatakan hasrat untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2060. – AFP
