KLANG, 16 DIS – NS BlueScope Malaysia telah memulakan usaha pembinaan ladang solar terbaharu dan terbesar syarikat dengan kapasiti penjanaan tenaga untuk 1,678 buah rumah yang melibatkan pelaburan awal sebanyak RM16 juta.
Ladang solar NS BlueScope SunField dengan keluasan 33,930 meter persegi di Kapar, Selangor, itu akan dilengkapkan dengan sejumlah 9,629 panel fotovoltan dan dijangka siap menjelang Mei 2022.
NS Bluescope merupakan pengeluar keluli bersalut.
Presiden NS BlueScope Malaysia, Koh Boon Hong berkata ladang solar tersebut mampu menjana tenaga pada kapasiti sehingga 7,007,364 kilowatt jam (kWj) setahun.
“Mengambil kira usaha untuk mendapatkan keluli yang kukuh, kami kini dapat memperkenalkan satu penyelesaian yang berdaya tahan serta mampu meneruskan kelangsungan penjanaan tenaga bersih bagi tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun,” katanya pada majlis pecah tanah NS BlueScope SunField di sini, hari ini.
Menurut Koh, kemudahan solar itu juga dapat membantu mengurangkan sejumlah 4,477 tan pelepasan karbon setahun berbanding menggunakan bahan api fosil atau secara perbandingan menyamai dengan pengurangan 29,430 kereta penumpang atau menanam 42,033 pokok.
Kemudahan itu hanya melengkapkan lagi inisiatif lain syarikat seperti penggunaan lampu jalan jenis LED, penuaian air hujan, rawatan air sisa dan penjanaan semula pengoksidaan haba terma (RTO).
NS BlueScope Malaysia adalah sebahagian daripada BlueScope Steel Ltd Australia, antara pengeluar terbesar dunia yang tersenarai Bursa Saham Australia bagi penghasilan produk pembinaan keluli salutan metalik yang premium dan keluli bercat. – Bernama