Ladang solar tingkatkan aktiviti industri

KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Kedah kini mempunyai antara ladang solar terbesar di Malaysia, yang akan menyediakan tenaga bersih untuk menyokong aktiviti perindustrian dan pertanian di negeri ini dan membawa manfaat ekonomi yang meluas kepada masyarakat.

Kejayaan ini dicapai hasil pemasangan 180,000 panel photovoltan oleh pengeluar kuasa bebas, Edra Power Holdings Sdn Bhd, di Ladang Solar Kuala Ketil.

Ladang solar itu dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam.

Pengarah Projek Ladang Solar Kuala Ketil Edra, Md Shamsul Bahrin Hussain berkata ladang solar itu yang meliputi kawasan seluas 104 hektar (260 ekar), merupakan antara ladang solar berskala besar pertama Malaysia yang siap mendahului jadual pembinaannya.

Dijangka menjana anggaran 78,400 kilowatt sejam elektrik setiap tahun, tenaga solar yang dihasilkan cukup untuk menerangi purata 30,000 rumah untuk 25 tahun akan datang dan akan mengimbangi kira-kira 54,000 tan pelepasan karbon setahun. – Bernama