Ladang terapung bantu petani atasi masalah banjir

MUGARJHOR, BANGLADESH – Paras laut meningkat dan banjir teruk telah pun membahayakan nyawa puluhan juta penduduk di Bangladesh, namun mereka membawa satu lagi masalah yang mengancam seluruh negara: tanah yang bertakung air dan kemasinan tinggi dalam sungai dan tanah-tanih membunuh tanaman.

Bangladesh menduduki tempat ketujuh untuk negara yang paling teruk terjejas oleh cuaca melampau sejak dua dekad lalu, menurut Indeks Risiko Iklim Global.

Petani terdesak untuk berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan yang semakin tidak dapat diramalkan berpunca daripada pemanasan global – daripada menggunakan batas biji benih terapung kepada penanaman padi yang tahan garam.

“Walaupun 25 tahun lalu, kami boleh bercucuk tanam sepanjang tahun, tetapi selepas itu air mula kekal di sini selama tujuh bulan. Kami tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup,” beritahu Altaf Mahmud kepada AFP.

“Kebanyakan petani di sini adalah miskin dan tanah amat sukar ditemui. Tetapi sekiranya kami tidak menanam apa-apa selama tujuh bulan, kami akan kelaparan,” tambah jiran Mohammad Mostafa.

Seorang petani berdiri dalam ladang terapung sambil memeriksa sayu-sayuran yang ditanam di batas benih di Mugarjhor, 200 kilometer dari Dhaka. – AFP
Gambar diambil dari udara menunjukkan deretan sayur-sayuran ditanam di batas biji benih, dibuat daripada timbunan lapisan keladi bunting dan buluh yang diikat bersama untuk mewujudkan rakit, di lading ditenggelami di Mugarjhor. – AFP

 

Maka mereka dan petani tempatan lain di Mugarjhor, sebuah rantau yang terletak 200 kilometer dari selatan Dhaka, memulihkan teknik berusia satu abad dengan menggunakan batas biji benih yang tergantung di atas air.

Mereka menimbunkan lapisan keladi bunting dan buluh yang diikat bersama pada akar mereka untuk mewujudkan rakit, di antara dua dan empat kaki tinggi, di mana benih ditanam – sering kali menggunakan serpihan kayu dan sabut kelapa sebagai baja.

Ia membentuk kebun sayur yang ringan dan terapung – peria, bayam dan kacang bendi semuanya boleh ditanam dengan cara ini – mampu timbul dan tenggelam seiring dengan paras air.

Ladang terapung telah menjadi inisiatif komuniti, di sesetengah kampung, kaum wanita menghabiskan beberapa bulan menyediakan batas sebelum pemilik perahu membawanya di ladang yang dipenuhi air, batas lama dijadikan kompos.

Siklon yang melanda lebih kerap sekarang, paras laut meningkat, banjir, hakisan, kemarau dan hujan yang tidak dapat diramalkan telah pun menyebabkan jutaan penduduk berpindah, sama ada ke bandar atau luar negeri.

Mereka yang tinggal tidak mempunyai pilihan melainkan mencari kaedah kerja baharu.

Beberapa petani telah pun berhenti bercucuk tanam, sebaliknya memilih menternak udang di air payau, atau menternak ketam – menangkap ketam liar dan membesarkan dan seterusnya menjual ketam berkenaan, serta membela itik, yang dijual pada harga tinggi di restoran Dhaka.

Institut Penyelidikan Beras Bangladesh (BRRI) telah membangunkan jenis tanaman asasi baharu yang tahan garam.

“Padi biasa tidak dapat membesar dalam air masin. Kemasinan menyerap tenaga batang padi,” jelas ahli sains Alamgir Hossain.

BRRI kini berjaya membangunkan jenis padi yang mampu tumbuh dalam air dengan tahap kemasinan tiga kali ganda daripada padi biasa,” katanya.

Ia sekali gus menawarkan ‘harapan baharu’ kepada petani di kawasan pantai, di mana air laut semakin masuk ke daratan, tambah beliau.

Namun Saiful Islam, pakar iklim di Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Bangladesh, berkata usaha sedemikian tidak memberikan kesan.

“Kami perlu membelanjakan berbilion dolar untuk mengumpul dan memperkukuh tambak di sepanjang pinggir laut kami. Kami perlu mewujudkan hutan bakau di sepanjang kawasan pantai untuk berfungsi sebagai sekatan semula jadi kepada siklon, penenggelaman serta kenaikan paras laut.”

“Kami perlu membina jalan raya baharu, memelihara air hujan dan mewujudkan mata pencarian alternatif untuk jutaan penduduk. Hanya mencipta tanaman tidak akan mendatangkan hasil. Bangladesh tidak dapat melakukannya sendirian,” beritahu Islam kepada AFP.

Beliau menambah negara Barat ‘bertanggungjawab melepaskan kebanyakan gas rumah hijau’ dan dengan itu perlu menghulurkan bantuan.

Islam berkata Bangladesh ‘tidak’ menerima AS$100 bilion yang diperuntukkan oleh negara maju untuk penyesuaian dan pengurangan perubahan iklim. Di beberapa rantau, penduduk biasa yang memimpin perubahan.

‘Lungi’ Jakir telah menjadi legenda tempatan atas perjuangannya memerangi perubahan iklim.

Bekas pekerja pembinaan itu bersama kawannya membina tambak untuk menyekat air laut daripada memasuki terusan air tawar sepanjang 6.5km – berjaya menyelamatkan 43,000 penduduk yang menggunakannya di Pakhimara, di selatan Bangladesh.

Ia memerlukan kerja pembaikan berterusan, tetapi telah memastikan bahawa terdapatnya air bersih yang cukup sepanjang tahun untuk mengairi tanaman tradisional malah tanaman baharu.

“Kemasinan wujud di sekeliling kami” beritahunya kepada AFP. “Kami tidak menerima bantuan daripada kerajaan, maka kami perlu mencari cara kami sendiri untuk hidup.”

“Saya boleh berhijrah ke bandar. Namun saya tahu betapa sukarnya untuk hidup di kawasan setinggan.”

Jakir berkata dia ‘mempelajari teknik bercucuk tanam dari YouTube,” memperincikan bagaimana mereka juga menggunakan kepingan plastik dan batas benih terapung sekarang untuk melindungi lapisan atas tanah.

Inisiatif itu telah mencatat kejayaan besar sehingga kawasan tersebut telah beralih daripada menanam labu dan kekacang sahaja kepada pembekalan buah dan sayuran ke daerah lain malah kepada pekerja di stesen tenaga berhampiran.

Pihak berkuasa mengaku petani telah membuktikan kemungkinan baharu untuk mengatasi cabaran iklim.

“Kami fikir keladi bunting ialah rumpai dan harus dibuang dari kolam tetapi ia telah membuka peluang besar kepada aktiviti bercucuk tanam,” kata Mohammad Shahidullah, bekas ketua perladangan kerajaan untuk Mugarjhor, merujuk kepada kebun sayur terapung itu.

Institut penyelidikan tidak tahu apa-apa mengenainya. Kami mendapat tahu daripada petani di sini,” tambahnya.

Pegawai berminat untuk ‘mempopularkan’ teknik itu di rantau lain yang bertakung air, jelas Shahidullah.

Pekebun Mahmud berkata beberapa ahli keluarganya kini sedang direkrut oleh kerajaan untuk melatih petani lain dalam kaedah pertanian tanpa tanah ini.

Pekebun sayur Mostofa berharap mereka boleh mengatasi masalah perubahan iklim. Dia memberitahu AFP: “Disebabkan ladang terapung sekarang, kami boleh menanam makanan kami dan juga menjual lebihannya.” – AFP