‘Laden’ sudah mati

GUWAHATI, INDIA, 17 NOV – Seekor gajah yang dinamakan sempena nama ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden telah mati dalam tawanan selepas ia ditangkap berikutan pemburuan besar-besaran di India, kata para pegawai hari ini.

Haiwan jantan dinamakan ‘Laden’ itu dijejaki beberapa hari oleh pegawai perhutanan dan ditembak bius pada Isnin selepas kejadian pengamukan maut Oktober lalu yang membunuh lima penduduk kampung di Goalpara, di negeri Assam.

Ia telah dipindahkan ke Taman Negara Orang Assam di mana para pegawai merancang untuk mengajarnya meronda taman hidupan luar dan tempat perlindungan di negeri itu, namun ia mati awal hari ini.

“Haiwan itu bersikap seperti biasa. Bagaimanapun kakinya diikat dengan kukuh oleh itu ia tidak boleh lari,” kata renjer taman, yang meminta tidak dinamakan, memberitahu AFP.

Penjaga taman melaporkan haiwan itu mati pada sekitar 5 pagi hari ini, katanya.

Punca kematian tidak jelas namun pegawai kanan berkata kerajaan telah menghantar pasukan doktor haiwan untuk melakukan autopsi. – AFP

Pengawal hutan India mengukur bangkai gajah liar yang dikenali sebagai ‘Laden’ di Taman Negara Orang, 110km dari Guwahati pada 17 November. – AFP