Lady Gaga tawar ganjaran AS$500,000

Lady Gaga dilaporkan menawarkan ganjaran AS$500,000 kepada individu yang memulangkan dua ekor anjing baka French Bulldog yang dipercayai dilarikan suspek dalam kejadian tembak dan rompak di Hollywood, Rabu lalu.

CNN melaporkan, penjaga dua ekor anjing kesayangan penyanyi lagu Shallow itu ditembak menggunakan pistol separuh automatik, dalam kejadian rompakan, kira-kira 10 malam.

Memetik sumber rapat kepada penyanyi itu, Lady Gaga menawarkan ganjaran kira-kira AS$500,000 kepada sesiapa yang memiliki Koji dan Gustav, tanpa disoal siasat.

Individu yang memiliki dua ekor anjing peliharaan penyanyi Shallow itu boleh menghantar maklumat kepada e-mel [email protected], lapor CNN.

Dilaporkan, ketika kejadian, penjaga anjing dikenali sebagai Ryan Fischer sedang bersiap-siap membawa haiwan kesayangan Lady Gaga bersiar-siar di kediamannya di Sierra Bonita Avenue, sebelum diserang.

Perompak itu kemudian melarikan dua ekor anjing terbabit sebelum meninggalkan lokasi menggunakan kereta jenis Sedan berwarna putih, lapor agensi.

Fischer dilaporkan dirawat di hospital dan keadaannya stabil. Difahamkan, ketika kejadian, Lady Gaga berada di Itali. – Agensi

Lady Gaga menawarkan ganjaran kira-kira AS$500,000 kepada sesiapa yang memiliki dua ekor anjing baka French Bulldog, Koji dan Gustav. – Bernama