Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Lafaz ijab qabul dalam jual beli: beberapa isu hukum mengenainya

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Jual beli merupakan salah satu daripada keperluan individu yang sangat mustahak dalam kehidupan sehariannya.

    Ini kerana dalam kehidupan masa kini beserta hajat manusia yang pelbagai, seorang individu itu tidak mampu untuk mengadakan keseluruhan keperluannya secara bersendirian.

    Islam sebagai agama yang syumul telah memberikan garis panduan yang jelas dalam semua perkara, termasuk bentuk jual beli yang selari dengan kehendak syara‘ atau sebaliknya.

    Jual beli menurut syara‘

    Perkara mengenai jual beli telah pun disebutkan dalam beberapa ayat al-Qur‘an, antaranya firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

    Antara rukun jual beli itu ialah benda atau barang yang dijual.

    Ayat ini secara umum menjelaskan bahawa setiap jual beli adalah halal, yakni dibolehkan dalam Islam. Walau bagaimanapun hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kemudian secara khusus memperincikan lagi beberapa jual beli yang ditegah oleh syara‘, umpamanya jual beli yang berasaskan atau berunsurkan riba.

    Dalil daripada hadits mengenai jual beli pula antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesungguhnya jual beli (adalah) dengan keredhaan (persetujuan bersama).

    (Hadits riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

    Tambahan daripada itu, para ‘ulama juga telah sepakat mengenai keharusan jual beli.

    Rukun jual beli

    Secara ringkas rukun jual beli itu ada enam iaitu, dua orang yang berakad, iaitu penjual dan pembeli, benda atau barang yang dijual atau ditawarkan dan harga barang, dan rukun terakhir shighah, iaitu lafaz ijab dan qabul.

    Fokus dalam perbincangan ini adalah pada rukun yang terakhir, iaitu shighah. Jual beli tanpa shighah, ijab dan qabul, adalah tidak sah kerana ia merupakan rukun dalam jual beli. ‘Illah atau sebab mengapa disyaratkan ijab dalam jual beli, bahkan mustahak dilafazkan, adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu. (Surah an-Nisaa: 29)

    Dalam ayat di atas, jual beli adalah semata-mata dengan keredhaan kedua-dua belah pihak yang berakad, penjual dan pembeli. Bagaimanapun seperti yang dimaklumi, keredhaan itu merupakan suatu perkara yang tersembunyi, yang tidak nampak.

    Oleh kerana itu, jual beli dengan keredhaan itu perlu kepada suatu yang boleh menzahirkannya. Maka shighah di sini berperanan sebagai suatu yang akan mengungkapkan atau menerangkan keredhaan penjual dan pembeli, sama ada dengan lafaz kata-kata, isyarat, tulisan atau perbuatan yang dilaksanakan mengikut suatu percakapan.

    Shighah ijab dan qabul

    Shighah, iaitu lafaz ijab dan qabul terbahagi kepada dua bentuk seperti berikut:

    1. Lafaz sharih (terang)

    Jual beli dengan lafaz sharih (terang), iaitu lafaz perkataan yang jelas dan nyata menunjukkan maksud jual beli. Jual beli dengan lafaz sharih (terang) adalah sah dengan semata-mata melafazkannya dan tidak perlu lagi kepada niat.

    Contoh lafaz ijab (atau tawaran) daripada penjual dalam bentuk sharih, umpamanya penjual berkata: “Saya jual kepada kamu barang ini dengan harga sekian”, ataupun “Kamu miliki barang ini dengan harga sekian”, ataupun “Barang ini adalah barang jualan kepadamu dengan harga sekian”, ataupun “Belilah daripada saya benda ini dengan harga sekian”.

    Lafaz jawapan atau penerimaan tawaran daripada pembeli, umpama dia berkata: “Saya beli”, ataupun “Saya ambil”, ataupun “Saya terima”, ataupun “Saya setuju”, ataupun “Ya”.

    Selain itu, disyaratkan antara ijab dan qabul itu jangan diselangi dengan percakapan mengenai perkara yang lain yang tiada kaitan atau terkeluar daripada jual beli tersebut.

    Begitu juga ijab dan qabul itu tidak boleh diselangi dengan diam yang panjang yang memberi tanda keengganan atau tidak setuju satu pihak daripada menerima tawaran jual beli.

    Bagaimanapun, sekiranya pembeli seorang yang beragama Islam, setelah dibuat tawaran kepadanya oleh seorang Islam jua, memulakan percakapannya dengan basmalah, hamdalah dan selawat ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seterusnya baru berkata “Saya terima” ataupun “Saya setuju”, maka dalam keadaan ini (percakapan yang dimulai dengan perkataan seperti di atas) jual belinya adalah sah.

    Disyaratkan juga hendaklah perkataan jual beli yang dilafazkan oleh seseorang itu dimaksudkannya dengan maknanya, iaitu jual atau beli.

    Sekiranya dia tidak bermaksud dengan perkataan jual beli akan maknanya yang asal, umpamanya seorang yang tersasul menyebut perkataan jual beli tetapi tidak bermaksud menjual atau membeli, ataupun seorang yang berbahasa asing menyebut suatu perkataan yang dia tidak mengetahui maknanya, maka dalam keadaan seperti ini tidak terjadi jual beli tersebut.

    2. Lafaz kinayah (kiasan)

    Jual beli dengan lafaz kinayah (secara kiasan), iaitu lafaz perkataan yang berkemungkinan bermaksud untuk jual beli ataupun perkara selain jual beli.

    Menurut mazhab asy-Syafi‘ie, jual beli dengan lafaz kinayah adalah sah, dengan syarat hendaklah diiringi dengan niat (jual beli) atau terdapat (wujud) tanda-tanda yang menunjukkan keredhaan (persetujuan) untuk jual beli.

    Contoh lafaz secara kiasan seperti penjual berkata: “Ambillah/terimalah/saya beri awak kuasa atas barang ini dengan harga sekian.” Lalu dijawab oleh pembeli: “Saya ambil barang itu (yang dimaksudkan untuk dijual)”.

    Jual beli dengan menggunakan lafaz kiasan adalah sah kerana dalam contoh di atas niat dan keinginan penjual memang untuk jual beli. Petunjuknya ialah penjual menyebut harga barang sebagai tukaran atau ganti yang menandakan maksud kata-katanya itu adalah jual beli.

    Ijab daripada pembeli dan qabul daripada penjual

    Pada kebiasaannya ijab (tawaran) dimulai oleh penjual dan qabul pula daripada pembeli. Bagaimanapun kadang kala ijab dimulakan oleh pembeli, iaitu pembeli terlebih dahulu membuat tawaran kepada penjual untuk membeli barang. Perkara ini adalah harus dan jual belinya adalah sah. Sebagai misal:

    Pembeli berkata: “Saya hendak membeli barang ini daripada awak dengan harga sekian”. Penjual menjawab: “Saya jual kepada awak”, ataupun “Ya”.

    Demikian juga lafaz dalam bentuk arahan atau perintah umpamanya:

    Pembeli berkata: “Juallah kepada saya barang ini dengan harga sekian”. Lalu penjual pun menjawab: “Saya jual”.

    Dengan lafaz yang telah disebutkan di atas, maka jual beli tersebut adalah sah kerana ada tanda atau petunjuk penjual tersebut redha (setuju) dengan jual beli.

    Barang yang hendak dijual beli dan harganya

    Sesiapa yang memulakan tawaran jual beli, sama ada penjual atau pembeli, hendaklah menyebutkan dalam shighah jual beli dua perkara, iaitu apa dia barang yang hendak dijual atau dibeli dan harga barang tersebut. Shighah yang lengkap umpamanya: “Saya jual kepada kamu barang ini dengan harga sekian.”

    Bagaimanapun, jawapan atau penerimaan daripada pihak yang satu lagi tidak disyaratkan untuk menyebut salah satu mahupun kedua-dua perkara di atas.

    Sebagai contoh, penjual menawarkan barang beserta harganya, lalu pembeli berkata: “Saya terima”.

    Demikian juga sekiranya pembeli berkata: “Saya beli daripada awak barang ini dengan harga sekian”. Lalu penjual berkata: “Saya jual kepada kamu”.

    Jawapan daripada pihak kedua di atas, iaitu tanpa menyebut barang dan harga barang, adalah memadai.

    Jual beli dengan isyarat dan tulisan

    Pada asalnya jual beli yang sah hendaklah dengan ucapan atau lafaz dan menggunakan bahasa yang difahami oleh kedua-dua pihak.

    Dalam sesetengah keadaan, jual beli adalah sah daripada orang bisu dengan menggunakan isyarat yang difahami serta tulisan. Begitu juga sah jual beli dengan menggunakan tulisan di antara dua orang yang berjauhan. Ini kerana adanya hajat atau keperluan dan kerana wujudnya keredhaan. Malahan jual beli dengan menggunakan tulisan adalah tanda yang lebih kuat sebagai bukti adanya keredhaan dan kemahuan untuk jual beli.

    Tulisan, bagi orang bisu, adalah berperanan dalam menterjemahkan dan mengungkapkan apa yang ada dalam hatinya sebagaimana percakapan atau lafaz menunjukkan apa yang ada dalam hati orang yang tidak bisu (orang normal).

    Jual beli tanpa lafaz ijab dan qabul

    Ijab dan qabul merupakan rukun dalam jual beli dan tidak sah tanpa keduanya. Oleh yang demikian, bagaimanakah hukum jual beli tanpa sebarang lafaz ijab dan qabul seperti realiti yang biasa berlaku pada masa kini? Dalam perbincangan ulama jual beli seumpama ini disebut sebagai jual beli al-Mu‘athah.

    Gambarannya seorang menyerahkan wang untuk membeli sesuatu, lalu penjual mengambil wang tersebut daripada pembeli dan berlaku tukar ganti atau serah terima tanpa berkata apa-apa, ataupun kadang kala hanya ada lafaz daripada satu pihak manakala pihak yang satu lagi diam sahaja tidak berkata apa-apa. Bagaimanapun kedua-dua penjual dan pembeli redha dan bersetuju dengan harga barang.

    Sesetengah ulama berkata jual beli pada benda yang sedikit atau harga yang sedikit seperti jual beli roti, sepotong kuih, secawan kopi dan daging adalah harus dengan tiada ijab dan qabul, iaitu kedua-dua penjual dan pembeli bersetuju di atas harga dan di atas benda yang dibeli tanpa ada lafaz ijab dan qabul padanya.

    Adapun sukat-sukat sesuatu benda dikatakan sebagai banyak atau sedikit, nilai harganya tinggi ataupun sebaliknya sederhana, maka kesemuanya adalah mengikut adat kebiasaan sebagaimana petikan berikut daripada Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam Kitab al-Majmu‘ yang ertinya:

    Rujukan (jual beli) bagi (benda yang) sedikit, banyak, biasa (sederhana nilai) dan berharga (bernilai) adalah (berdasarkan) adat kebiasaan (al-‘urf).

    Oleh yang demikian, setiap benda yang dijual atau dibeli oleh masyarakat umum tanpa ijab dan qabul kerana sudah menjadi kebiasaan dan telah diterima oleh mereka sebagai jual beli tidak kira berapa pun nilainya, maka jual beli dengan cara sedemikian adalah sah.

    Jual beli dalam bentuk pertanyaan

    Lafaz jual beli dalam bentuk pertanyaan, umpamanya seorang pembeli bertanya “Adakah kamu jual kepada ku?” ataupun “Adakah kamu akan jual kepada ku?” lalu penjual menjawab: “Ya, aku jual”.

    Dalam keadaan ini, belum berlaku jual beli tersebut sehinggalah pihak yang pertama, dalam contoh ini pembeli, menerima atau menyetujui tawaran tersebut umpamanya dia berkata: “Saya beli”.

    Demikian juga hukumnya sekiranya seorang penjual berkata: “Adakah kamu akan membeli barang jualan ku ini?” Lalu dijawab “Saya beli.” Belum berlaku jual beli sehinggalah penjual berkata selepas itu: “Saya jual.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...