Lagi 85 warga China dicekup terlibat penipuan online

JAKARTA, 26 NOV – Seramai 85 warga China dan enam penduduk Indonesia yang menjalankan aktiviti penipuan dalam talian membabitkan jutaan dolar ditahan dalam serbuan semalam, kata pihak berkuasa hari ini.

Kesemua suspek ditahan dalam enam serbuan berasingan di Jakarta dan bandar Malang selepas polis menerima maklumat mengenai aktiviti haram itu daripada pihak berkuasa di China.

Penangkapan itu muncul beberapa hari selepas hampir 700 rakyat China ditangkap di Malaysia di mana pihak berkuasa menyerbu sebuah bangunan dan menumpaskan sindiket penipuan pelaburan online.

Hari ini, polis Indonesia berkata suspek-suspek menyasarkan mangsa di tanah besar China dan mengaut keuntungan mencecah 36 bilion rupiah (AS$2.6 juta) dalam tempoh empat bulan. Mereka tidak mengatakan berapa ramai yang telah ditipu.

“Mereka berpura-pura menyamar sebagai polis atau pendakwa dan menghubungi mangsa-mangsa mereka, memberitahu para mangsa yang mereka terbabit dengan masalah perundangan dan menuntut wang untuk menyelesaikan isu tersebut,” kata Ketua Polis Jakarta, Gatot Eddy Pramono.

“Beberapa daripadanya juga berpura-pura menjadi kakitangan bank yang menawarkan pelaburan,” tambahnya.

Polis juga merampas bukti termasuk komputer riba, kata Gatot.

Beberapa penipu online telah berpindah ke Indonesia dan negara-negara serantau lain selepas China bertindak keras atas rangkaian mereka, menurut Gatot. – AFP

Polis Indonesia mengiringi sekumpulan suspek warga China dan Indonesia selepas sidang media di Jakarta pada 26 November. – AFP