Lagi bekas pegawai FIFA diharamkan

LAUSANNE, 8 OKT – Bekas ketua Persekutuan Bolasepak El Salvador, Reynaldo Vasquez telah diharamkan seumur hidup daripada semua aktiviti yang berkaitan bola sepak selepas satu siasatan rasuah, menurut FIFA.

Vasquez telah dihukum penjara lapan tahun atas kesalahan penyelewengan wang oleh mahkamah Salvador pada Mac 2017.

Semalam, FIFA mengharamkannya seumur hidup dan mengenakannya denda sebanyak 475,000 euro disebabkan aktiviti rasuah yang melibatkan pendapatan daripada perlawanan-perlawanan persahabatan antara 2009 hingga 2015.

Dia merupakan bekas pegawai rasmi FIFA di Amerika Selatan yang diharamkan seumur hidup.

Pengharaman sebelum ini turut dikenakan ke atas bekas ketua bola sepak Uruguay, Eugenio Figueredo; bekas presiden persatuan bola sepak Paraguay, Juan Angel Napout dan bekas setiausaha agung CONCACAF, Enrique Sanz.

Bekas ketua bola sepak Amerika Selatan, Nicolas Leoz, suspek utama dalam siasatan oleh Jabatan Keadilan AS, meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat kegagalan jantung pada Ogos.

Bekas timbalan presiden FIFA, presiden CONMEBOL dan sekutu rapat Sepp Blatter, Leoz juga merupakan salah seorang daripada pemimpin kumpulan yang menerima rasuah bagi menyokong kejayaan bidaan Qatar untuk menghoskan Piala Dunia 2022. – AFP

Reynaldo Vasquez ketika diiringi oleh polis pada 16 Disember 2015. – AFP