Lagi daging mentah dirampas

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Sebanyak 200 kilogram (kg) daging mentah, 10kg hati buyah dan 59kg tongkeng ayam telah dirampas dari sebuah kenderaan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh para pegawai penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KHEU di sini, hari ini, operasi yang dijalankan kelmarin, pukul 2:35 petang telah berjaya menahan sebuah kenderaan disyaki membawa daging mentah, hati buyah dan tongkeng ayam tanpa permit import halal dengan jumlah keseluruhan daging tersebut sebanyak 269kg.

Kesemua barang rampasan tersebut telah diserahkan kepada pihak JKED untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

KHEU merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas maklumat berhubung perkara itu dan bagi orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal, mereka boleh membuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH dengan menghubungi talian 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

BKMH bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang serta peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

Antara daging mentah yang berjaya dirampas oleh pegawai penguat kuasa semasa operasi yang dijalankan baru-baru ini.
Antara bungkusan mengandungi daging mentah tanpa permit import halal yang dijumpai dalam sebuah kenderaan. – Gambar serahan KHEU