BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Dua lagi produk kosmetik didapati tercemar dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan setelah ujian Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan
Produk-produk berkenaan adalah Brilliant Skin Essentials – Rejuvenating Facial Toner dan Brilliant Skin Essentials – Rejuvenating Cream, kedua-duanya dikilangkan oleh Brilliant Skin Essentials, Filipina, yang telah didapati dicemari dengan hydroquinone dan tretinoin.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menyatakan bahawa bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Hydroquinone dan tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.
Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.


Penggunaan tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta.
Jika mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, mereka hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Kenyataan mengingatkan sesiapa sahaja yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.
Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui talian telefon 2392398 / 2393301 / 2393230 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus ke Bahagian Komplians dan Perlesenan, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Tingkat 1, Simpang 433, Lebuh Raya Rimba, Kampung Madaras, Mukim Gadong ‘A’ atau hubungi Talian Darussalam 123.