Lagi insiden kebakaran kereta

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Dua lagi kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku dalam beberapa hari kebelakangan ini iaitu satu kejadian di Kampung Perpindahan Lambak Kanan, kelmarin dan satu lagi di Kampung Katimahar pada 12 April lalu.

Dalam kejadian yang berlaku di kawasan berdekatan BIBD Connect, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, sebuah kereta jenis SUV telah terbakar sepenuhnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), sebuah jentera dari Balai Bomba Lambak Kanan yang diketuai oleh ASO Haji Wahab bin Wahid telah dikejarkan ke tempat kejadian pada 2:06 petang mendapati api besar telah membakar keseluruhan kereta berkenaan.

Anggota bomba segera bertindak memadam kebakaran dalam masa 5 minit sementara tidak ada korban jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sementara itu, dua buah jentera dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh DSO Serudin bin Haji Osman telah dikejarkan ke insiden kebakaran kereta pada pukul 8:55 malam di kawasan Kampung Katimahar.

Menurut kenyataan berasingan yang dikeluarkan JBP, kebakaran tersebut hanya melibatkan di bahagian enjin sahaja dan api sudah dipadamkan oleh pemandu kereta tersebut menggunakan pasir dan air sebelum ketibaan anggota bomba.

Tidak ada korban jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai agar sentiasa meningkatkan pengetahuan tentang keselamatan kebakaran kereta, memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian yang dibuat itu adalah dengan cara yang betul, yang tidak mendatangkan bahaya kebakaran.

Selain itu, JBP juga menasihatkan untuk orang ramai menyediakan alat pemadam api jenis debu kering di dalam kereta dan bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.

Kejadian kebakaran kereta jenis SUV di Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
Kerosakan di bahagian dalam bampar pada kejadian kebakaran di Kampung Katimahar.