Lagi kawasan pertanian dilanda banjir, tanah runtuh

Oleh Azlan Othman

TUTONG, 15 SEPT – Kawasan-kawasan pertanian sekali lagi terjejas apabila banjir dan tanah runtuh melanda selepas hujan lebat semalaman kelmarin, menenggelamkan ladang-ladang dan mengakibatkan kerugian kepada para petani.

Antara kawasan terjejas kali ini ialah Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) di Limpaki, Batumpu di Daerah Brunei dan Muara dan Kampung Sinaut di Tutong. Manakala tanah runtuh berlaku di tapak penyelidikan pertanian di Tutong menjadikan jalan-jalan sukar dilalui.

Seorang petani dari EcoNadiAgroBiz di Kawasan Pertanian Berkelompok Sinaut, Haji Mohd Ayub bin Haji Suhaili mengatakan tanamannya seperti cili, jagung, tembikai dan terung terjejas akibat banjir kilat yang melanda ladangnya bermula jam 5 petang pada Selasa.

Seorang petani dari EcoNadi AgroBiz di KKP Sinaut, Haji Mohd Ayub bin Haji Suhaili mengatakan tanamannya seperti cili, jagung, tembikai dan terung terjejas akibat banjir kilat yang melanda ladangnya bermula jam 5 petang pada Selasa.

“Meskipun Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sudah pun membersihkan sistem saliran di sekitar kawasan ini, hujan lebat berbetulan dengan air pasang merosakkan ladang saya yang terletak berhampiran sungai Kampung Sinaut.

Tanah runtuh yang berlaku di sebuah ladang pisang di kawasan kemajuan pertanian di Daerah Brunei dan Muara.
Salah sebuah ladang di KKP yang ditenggelami banjir.

“Saya sudah memantau ladang sehingga jam 2 pagi susulan hujan lebat itu. Saya belum lagi mengira kerugian yang dialami memandangkan air banjir belum lagi surut,” katanya.

Beliau turut menyeru pendekatan seluruh kerajaan membabitkan pelbagai kementerian dalam usaha memastikan kejadian sama tidak berlaku pada masa hadapan. “Kami cuba meningkatkan pengeluaran pertanian, namun dengan masalah yang sering berlaku ini, ia agak sukar bagi kami,” tambahnya.

Beliau juga menyeru bantuan kewangan tanpa kadar faedah bagi membantu mereka dengan kemudahan infrastruktur selain menyediakan plot tanah.

Dalam pada itu, seorang lagi petani, Awang Jasni bin Haji Imran dari Spicecries Agro Farm mengatakan tanamannya termasuk sayur berdaun dan lobak putih juga ditenggelami air pada kejadian yang sama, pengalaman terburuk pernah dialaminya setakat ini.

“Ladang saya terjejas akibat hujan lebat sejak Julai tahun ini dengan jumlah kerugian sudah mencecah $3,000 setakat ini.

“Ia baru dibuka pada Disember tahun lalu dan di sebalik kerugian itu, saya berterima kasih kepada jabatan pertanian yang telah menggali lubang untuk sistem saliran.

Walau bagaimanapun, beliau menyeru agensi berkenaan mempermudahkan bantuan dalam bentuk modal kewangan untuk memperluaskan pengeluarannya, membina empangan atau memperuntukkan kawasan tanah lebih tinggi bagi mencegah kejadian sama berulang lagi.