Lagi kesalahan peraturan lalu lintas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah mengambil tindakan ke atas sebuah kenderaan jenis platform towing truck yang tular dalam media sosial kerana memunggah kenderaan lain jenis car carrier di Jalan Utama Berakas.

JPD melalui Unit Penguatkuasaan (UP) telah membuat penyiasatan dan mengambil tindakan dengan menghubungi syarikat itu pada 4 November dan mengarahkan pemandu berkenaan hadir ke unit tersebut.

Hasil siasatan mendapati pemandu warga asing, Parminder Singh didapati melakukan kesalahan itu pada 31 Oktober lalu, sekitar pukul 12 tengah hari semasa beliau membawa balik kenderaan milik syarikat dari Tutong menuju ke bengkel di kawasan Berakas.

Dalam hubungan itu, pemandu dikenakan dua denda kompaun berjumlah $200. Pemilik syarikat juga dikeluarkan surat amaran dan pemandu tersebut diarah menjalani ujian memandu semula termasuk ujian undang-undang kod jalan raya dan jika gagal hadir, lesen memandunya akan dibatalkan.

JPD mengambil tindakan ke atas kenderaan yang tidak sesuai membawa muatan dan membawa muatan melebihi panjang kenderaan. Gambar sisipan menunjukkan pemandu trak, Parminder Singh. – Gambar serahan JPD