Lagi kluster rumah persendirian dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan 106 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 8,150 orang, dengan beberapa kluster rumah persendirian menyumbang kepada sembilan kes.

Terdapat 41 tambahan kes-kes baharu kepada 10 kluster aktif sedia ada, yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan statistik harian itu pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, tiga kluster baharu dikesan hari ini yang kesemuanya merupakan kluster rumah persendirian melibatkan sembilan kes.

“Dalam pada itu, satu kluster telah ditamatkan setelah tidak ada kes dikesan dalam 28 hari,” jelas Yang Berhormat Dato.

Kluster yang tamat ialah Kluster Champion 7 – Posh Elegance, menjadikan jumlah kluster yang aktif pada masa ini sebanyak 146 kluster.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa terdapat dua kes import yang dicatatkan pada hari ini.

“Satu kes telah tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Manila dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 684 pada 29 September; dan satu kes telah tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Maghribi melalui Malaysia menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 874 pada 22 September 2021,” jelas beliau.

Manakala, terdapat 54 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan. Dalam pada itu, 140 kes telah disahkan sembuh membawa jumlah keseluruhan yang sembuh kepada 5,774 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,315 kes.

“Dalam kalangan pesakit yang dirawat sekarang, lima daripadanya dalam kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sementara itu, 36 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,700 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 382,821 ujian.