Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lagi mayat ditemui dalam runtuhan kilang silikon

    WAUKEGAN, ILL, 6 Mei – Kakitangan mencari dan menyelamat menemui mayat seorang lagi pekerja semalam dalam runtuhan sebuah kilang silikon di utara Illinois yang meletup dan terbakar dua hari sebelumnya, sekali gus membawa jumlah kematian kepada tiga pekerja dengan satu lagi mayat dipercayai berada di bawah runtuhan, kata pegawai bomba.

    Ahli Bomba Waukegan Marsyal Steve Lenzi memberitahu satu persidangan akhbar bahawa mayat ditemui apabila penggerak balas pertama meneruskan usaha mencari dalam keadaan berbahaya dalam runtuhan dari kilang AB Specialty Silicone di Waukegan, kira-kira 50 batu dari utara Chicago.

    Mereka sedang mencari dua mayat daripada sembilan pekerja yang berada di sana apabila letupan melanda bangunan pada malam Jumaat dan memusnahkannya.

    Ia mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mayat berkenaan pada petang semalam, kata Lenzi dalam satu kenyataan. Usaha mencari mayat yang tinggal dibatalkan pada petang semalam dan akan diteruskan pada hari ini, kata beliau.

    Daripada sembilan pekerja dalam bangunan pada masa letupan, satu mayat ditemui pada awal Sabtu. Empat orang dibawa ke hospital dan seorang di antara mereka mati pada lewat Sabtu. Keadaan tiga pekerja lain di hospital masih tidak diketahui, kata Lenzi.

    Kematian ketiga adalah mayat yang ditemui semalam dengan satu mayat yang masih belum ditemui. Dua pekerja lain tidak memerlukan rawatan pada masa itu. Punca letupan belum disahkan, walaupun Lenzi berkata ia berasal dari bangunan di mana silikon dihasilkan.

    “Kebanyakan proses yang dilakukan oleh mereka tidak berbahaya. Silikon itu sendiri, bukan sejenis bahan yang berbahaya,” kata Lenzi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda