Lagi minuman keras, dadah dirampas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan berserta 809 botol dan 3,153 tin minuman keras pelbagai jenis, sebuah unit dispenser mengandungi 19 liter minuman keras, wang tunai berjumlah $3,524 yang dipercayai hasil penjualan barangan tegahan dan sebuah kereta, pada 20 Oktober lalu.

Penahanan tersebut adalah hasil daripada gerakan operasi pemeriksaan rumah di kawasan Jalan Kebangsaan Lama yang dijalankan bahawa Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, JKED berikutan maklumat yang diterima daripada orang awam mengenai penjualan dan pemilikan barang-barang tegahan kastam.

Kenyataan menyatakan bahawa kesemua barangan tegahan terbabit termasuk wang tunai dan kereta dirampas serta individu terlibat telah dibawa ke pejabat Penguatkuasaan Undang-undang JKED untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, pihak JKED berjaya menemukan satu bungkusan yang diisytiharkan dengan tidak betul sebagai dokumen perubatan, telah mendapati barangan yang disyaki sebagai dadah terkawal semasa menjalankan pemeriksaan rutin di kaunter pemeriksaan Pejabat Pos Mumong, Kuala Belait pada 18 Oktober lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, hari ini, menyatakan bahawa hasil pemeriksaan rutin itu telah berjaya mendapati satu tiub plastik berwarna hitam dilekatkan di salah satu katalog pakaian dan didapati mengandungi beberapa bungkusan plastik kecil disyaki sebagai dadah terkawal.

JKED seterusnya menyerahkan barang yang dipercayai dadah terkawal berkenaan dan pemilik bungkusan kepada Biro Kawalan Narkotik (BKN).

JKED dalam kenyataannya lagi, mengingatkan kepada orang ramai bahawa barangan yang dibawa masuk ke negara ini termasuklah melalui perkhidmatan pos hendaklah diisytiharkan dengan betul.

Sebarang pengisytiharan yang tidak betul adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 138, Perintah Kastam 2006.

JKED juga ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuatkuasa pada masa ini dan menghindari dari melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan.

Antara barang tegahan yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa semasa operasi yang dijalankan di kawasan Jalan Kebangsaan Lama, baru-baru ini. – Gambar serahan JKED