Lagi pekerja asing miliki rokok tak diisytihar

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di Daerah Polis Belait, semalam, telah menjalankan operasi sepadu penguatkuasaan undang-undang yang turut melibat Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) dan ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK).

Operasi menumpukan beberapa lokasi kediaman dan pemeriksaan rumah pekerja asing di kawasan Jalan Perakong, Jalan Semaun dan kawasan Kampung Baru di bawah tadahan Balai Polis Seria. Hasil daripada operasi berkenaan, satu kesalahan telah didapati, memiliki barang tegahan iaitu satu karton rokok yang tidak diisytiharkan yang mana pemilik rokok berkenaan telah ditahan oleh anggota JKED bagi tindakan lanjut.

Operasi semalam melibatkan seramai 54 orang pegawai dan anggota serta ahli dengan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Penolong Penguasa Polis (P/ASP) Syed Mohammad Afidzul Azeez bin Sheikh Haji Abu Bakar.