DHAKA, 12 NOV – Ratusan pekerja pakaian Bangladesh hari ini berhimpun menuntut gaji yang adil selepas menolak tawaran gaji sebagai terlalu kecil, sementara angka kematian daripada protes ganas yang tercetus bulan lalu meningkat kepada empat orang.
Polis mengatakan Jalal Uddin, 42, seorang pekerja pakaian yang cedera dalam pertempuran dengan pegawai awal bulan ini di Gazipur, utara ibu kota Dhaka, kelmarin meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Kematian Uddin menjadikan jumlah yang terbunuh dalam protes itu kepada empat, kata polis.
“Dia meninggal dunia di Hospital Kolej Perubatan Dhaka. Dia cedera semasa protes beberapa hari lalu,” kata seorang inspektor polis, Bacchu Mia kepada AFP.
Adik ipar Uddin, Rezaul Karim memberitahu wartawan bahawa dia telah ditembak di perut dengan senapang patah, dan telah dibawa ke Dhaka bagi mendapatkan rawatan.
Polis berkata lebih 10,000 pekerja meninggalkan syif mereka apabila sekurang-kurangnya sembilan kilang ditutup untuk hari itu di kawasan Mirpur, utara Dhaka pada pagi Ahad.
“Kira-kira 500 daripada pekerja ini cuba menghalang jalan sebagai sebahagian daripada protes gaji minimum. Tiada keganasan,” kata inspektor polis, Masud Sarker kepada wartawan. – AFP
