Lagi percubaan seludup 478 karton rokok dipatahkan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Percubaan membawa masuk sebanyak 478 karton rokok pelbagai jenama berjaya dipatahkan lagi dalam Operasi Sepadu COVID-19 yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Pasukan Simpanan Polis C Kompeni bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kelmarin.

Barangan tegahan itu telah ditemui di kawasan jalan tikus di Kampung Kuala Lurah semasa operasi rondaan di lokasi-lokasi perbatasan sempadan Negara Brunei Darussalam dengan negara jiran.

Turut ditemukan semasa operasi tersebut ialah barangan peribadi individu-individu dipercayai dalang kepada kegiatan ini yang berhasrat untuk membawa barangan tegahan tersebut masuk ke negara ini.

Barang-barang yang ditemui telah dipunggah dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan.

Manakala itu, kesemua barangan rampasan berserta kertas penyiasatan akan diserahkan dan diambil alih oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.

Dalam hal ini, PPDB berserta agensi-agensi penguat kuasa undang-undang yang lain akan sentiasa teguh meningkatkan keupayaan masing-masing dalam memperkasa usaha kerajaan bagi sama-sama membanteras, mengesan dan juga menangani isu-isu berkaitan dengan jenayah rentas sempadan untuk ditangani sehingga ke akar umbi.

Rokok pelbagai jenama yang telah dirampas semasa Operasi Sepadu COVID-19.
Penolong Pegawai Memerintah Pasukan Polis Simpanan C Kompeni ASP Azhan dan Pegawai Menguasa Balai Polis Limau Manis, Insp Mohammed Nagib memberikan kenyataan mengenai penemuan barang tegahan di kawasan operasi dijalankan.